PORT DICKSON – Kira-kira 1.48 peratus daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam di negara ini masih belum divaksin.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, pada masa ini, ketua-ketua perkhidmatan sedang giat membuat perjumpaan dengan penjawat awam yang masih belum membuat keputusan untuk menerima vaksin.
Menurutnya, dari tinjauan yang diperoleh susulan perjumpaan berkenaan, kebanyakan daripada golongan berkenaan bukan antivaksin.
“Mereka ini mungkin memerlukan sedikit kaunseling, mungkin mereka ini (tak ambil vaksin) disebabkan perasaan takut ataupun melihat pengalaman rakan mereka sendiri.
“Pada masa yang sama, sebelum perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) belum ada ketua jabatan yang boleh berjumpa mereka dan kini ketua jabatan boleh berjumpa bagi sesi kaunseling,” katanya kepada pemberita ketika ditemui sempena Program Karnival sukan Port Dickson 2021 di Tapak Pantai Batu 1, di sini, pagi tadi. – K! ONLINE.