fbpx

Warga emas lumpuh hidup sendirian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HASIAH yang kini hanya terlantar di atas katil terpaksa mengharapkan ihsan dan bantuan anak saudara untuk menyediakan kelengkapan diri di rumahnya di Kampung Bukit Kuda, Klang semalam.

KLANG – Seorang suri rumah hanya mampu terlantar di katil rumahnya di Kampung Bukit Kuda di sini sejak dua tahun lalu akibat penyakit ketumbuhan pada belakang pinggangnya.

Lebih menyedihkan apabila Hasiah Noordin, 71, yang lumpuh dari pinggang ke bawah badan hanya tinggal seorang diri di rumah yang dalam keadaan sangat usang.

Hasiah berkata, kehidupannya kini banyak dibantu anak saudaranya yang tinggal bersebelahan rumah dari segi keperluan ­harian termasuk urusan makan dan minum.

Kata Hasiah, suaminya, Baharuddin Mohd. Daud, 77, kini tinggal bersama anak tirinya di Puchong setelah jari kakinya dipotong akibat kencing manis.

“Saya berkahwin dengan suami sejak 20 tahun lalu, namun kami tidak dikurniakan zuriat.

“Memang agak perit tinggal seorang diri dan hanya terlantar di atas katil.

“Saya hanya mengharap simpati dan bantuan anak saudara yang selalu mengunjungi saya yang kini makin dimamah usia.

“Sebelum ini, suami bekerja sebagai pengawal keselamatan ketika dia masih sihat. Kami ada juga mendapat bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), tetapi kini tidak lagi,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan Pengerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Sela­ngor, Datuk Nazilah Idris yang turut menyampaikan sumbangan barangan makanan, lampin pakai buang dan susu formula.

Menurut wanita warga emas itu, sumber kewangannya ketika ini hanya bergantung daripada hasil rumah sewanya berjumlah RM800 sebulan bagi menampung kos lampin pakai buang, susu formula dan makanan minumannya.

Ujar Hasiah, ‘pendapatan’ bulanan itu bagaimanapun tidak mencukupi untuk membaiki rumahnya yang semakin usang dan hampir mereput.

“Rumah ini adalah rumah pusaka dan mungkin hanya me­nunggu masa untuk rebah sekiranya tidak mendapat bantuan sewajarnya.

“Justeru, saya berharap ada pihak yang sudi membantu memandangkan keadaan diri saya yang semakin uzur,” rayunya.

Justeru, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkannya menerusi akaun Bank Mualamat 12040033935728 milik anak saudaranya, Norhana Muhammad Yusof, 35, atau menghubunginya di talian 0176014154.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI