PETALING JAYA – Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin memaklumkan bahawa beliau telah menerima hantaran video yang tular berkenaan murid yang dipukul di sebuah asrama.
Radzi menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya dapati kejadian tersebut tidak melibatkan institusi bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
“Namun, KPM telah berhubung dengan pihak yang terlibat dan dimaklumkan bahawa tindakan susulan telah pun diambil.
“KPM komited untuk menyediakan persekitaran sekolah yang selamat selaras dengan konsep #sekolahkuSEJAHTERA,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah video yang memaparkan beberapa remaja yang dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai.
Susulan dari kejadian itu, siasatan telah dijalankan oleh pihak pengurusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan pihak polis negeri Perak berhubung perkara tersebut. – K! ONLINE