GEORGE TOWN – Polis menahan pemandu sebuah kereta jenis Perodua Kenari yang didakwa dipandu secara melawan arus di Jalan Persiaran Mahsuri 2, Bayan Lepas dekat sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md. Zain berkata, pemandu lelaki tersebut ditahan di Jalan Paya Terubong di sini oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya sejurus kejadian itu tular di media sosial Facebook semalam.
“Video berdurasi 18 saat itu dikesan kira-kira pukul 4.30 petang semalam di Facebook.
“Ia memaparkan sebuah kereta Perodua Kenari berwarna biru dipandu secara melawan arus di Jalan Persiaran Mahsuri 2,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Jafri, pemandu itu telah dibawa ke Balai Polis Bayan Lepas untuk tindakan selanjutnya di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pihak polis turut menyeru orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya demi keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain,” katanya lagi. – K! ONLINE