MELAKA – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mengeluarkan kompaun sebanyak RM63,600 kepada perokok yang dikesan berdegil merokok di kawasan larangan terutama kedai makan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, sebanyak 303 kompaun dan 278 notis dikeluarkan sehingga 7 Disember lalu membabitkan kesalahan merokok.
Katanya, tindakan itu diambil mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.
“Sehingga 7 Disember lalu, sebanyak 303 kompaun berjumlah RM63,600 dikeluarkan kepada perokok tegar yang dicekup merokok di kawasan larangan terutama di kedai makan atau restoran.
“Daripada jumlah itu sebanyak RM42,455 kompaun telah diselesaikan oleh perokok terbabit,” katanya pada sidang akhbar selepas Operasi Khas Penguatkuasaan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 dan PPKHT di sekitar Ayer Keroh, malam tadi.
Dalam operasi itu, seramai 10 perokok dikenakan kompaun selepas didapati bertindak merokok di dalam sebuah kedai makan di Bukit Beruang di sini. – K! ONLINE