PUTRAJAYA – Pantai berpasir di Anjung Floria, Presint 4 atau dikenali sebagai ‘sandy beach’ yang akan menjadi satu lagi tarikan pelancongan di sini, bakal dibuka kepada pengunjung pada hujung bulan ini.
Lokasi tersebut yang berkeluasan 600 meter persegi dengan kepanjangan kira-kira 100 meter boleh memuatkan kira-kira 150 orang dalam satu-satu masa serta menggunakan sepenuhnya air di tasik Putrajaya.
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Muhammad Azmi Mohd. Zain berkata, tarikan baharu itu adalah antara satu daripada usaha pihaknya untuk meningkatkan lagi jumlah pengunjung di Putrajaya.
“Ia berbeza dengan pantai buatan sedia ada di Presint 5 kerana di sana ialah kolam buatan yang penyenggaraannya tinggi berbanding pantai berpasir di Anjung Floria ini menggunakan air tasik Putrajaya.
“Kualiti air tasik ini ialah 2A dan ada juga di sesuatu kawasan kelas 1. Untuk membolehkan kita melaksanakan aktiviti bersentuhan dengan air, kualiti air adalah kelas B,” katanya kepada wartawan pada Penyerahan Sumbangan Jom Balik Sekolah Putrajaya 2021 di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, pantai berpasir tersebut yang sudah siap pada 4 Disember lalu itu akan mengenakan sedikit bayaran kepada pengunjung yang mahu menikmati suasana di kawasan tersebut malah lokasi seperti itu akan diperbanyakkan lagi di sini jika mendapat sambutan menggalakkan.
Mengulas lanjut, Muhammad Azmi berkata, faktor air tasik di Putrajaya yang bersih juga membolehkan lebih banyak lagi aktiviti berkaitan air dapat dijalankan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini. – K! ONLINE.