fbpx

Obor-obor ‘hantu gergasi’ dirakam di pantai California

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Makhluk gergasi itu pertama kali didokumentasikan secara rasmi pada tahun 1899, hanya dirakam sembilan kali sepanjang beribu-ribu selaman di Monterey Bay. – YouTube/ MBARI

CALIFORNIA – Seekor ‘obor-obor hantu gergasi’ sesungut panjang yang jarang ditemui telah dijumpai di luar pantai California, lapor akhbar Daily Mail kelmarin. 

Makhluk gergasi itu pertama kali didokumentasikan secara rasmi pada tahun 1899 dan hanya dirakam sembilan kali sepanjang beribu-ribu selaman dilakukan di Monterey Bay. Haiwan marin itu ditemui sebanyak 110 kali sepanjang 110 tahun di seluruh dunia.

Pemangsa invertebrata terbesar dalam ekosistem laut dalam itu hidup dari permukaan air sehingga kedalaman 6,675.12 meter. Ia kebanyakannya hanya berada di kawasan zon senja iaitu paras yang terlalu dalam untuk ditembusi cahaya.

Dalam penemuan terbaharu tersebut, obor-obor hantu itu telah dirakam oleh kamera kapal selam robot pada kedalaman 990 meter.

Penyelidik di Institut Penyelidikan Akuarium Monterey Bay (MBARI) berjaya merakam makhluk laut dalam yang secara saintifiknya dikenali sebagai Stygiomedusa gigantea. Ia mempunyai sesungut sepanjang 10 meter. 

Sesungut haiwan itu dipercayai digunakan untuk menangkap dan memerangkap mangsa. Pemakanan obor-obor itu tidak diketahui, tetapi dipercayai memakan plankton dan ikan-ikan kecil.

Dua penampakan makhluk itu di Teluk Mexico mengandaikan bahawa haiwan itu berpaut pada struktur dasar laut dan menggunakan sesungutnya untuk memerangkap makanan, tetapi tidak pernah disaksikan secara langsung.

Menurut saintis, obor-obor hantu gergasi kelihatan berada di semua lautan kecuali Artik.

Bagaimanapun, dalam tempoh 34 tahun menjalankan kajian laut dalam, MBARI telah menghantar beribu-ribu robot yang dikendalikan dari jauh dan obor-obor hantu gergasi itu hanya dirakam sembilan kali. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI