fbpx

Nak beli pisang RM7.30, terlepas bayar RM1,234.56

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pisang berangan yang dibeli seorang warga emas di sebuah kedai runcit di Kota Bharu bulan lalu. /FOTO IHSAN KPDNHEP KELANTAN

KOTA BHARU – Seorang warga emas tersilap menekan jumlah pembelian sesikat pisang berangan pada harga RM1,234.56 semasa membuat pembayaran secara e-wallet di sebuah kedai runcit di sini bulan lalu.

Menyedari kesilapan tersebut, lelaki berusia 60 tahun itu telah membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Selasa lalu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, siasatan mendapati, lelaki itu telah membeli sesikat pisang berangan yang dianggarkan seberat lebih satu kilogram di kedai tersebut pada 10 November lalu.

Menurutnya, sesikat pisang itu berharga RM7.30, namun dia tersilap menekan harga RM1,234.56 semasa membuat pembayaran menggunakan aplikasi e-wallet.

“Warga emas itu telah pulang ke rumah dan baru menyedari bahawa pisang tersebut dibeli pada harga RM1,234.56 baru-baru ini.

“Lelaki tersebut kemudian memaklumkan kepada pihak kedai runcit, namun difahamkan kedai itu sudah bertukar pemilik. Dia kemudian membuat aduan kepada KPDNHEP beserta bukti transaksi pembelian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azanizam Affendi Juri, hasil perbincangan bersama pegawai penguat kuasa KPDNHEP, pemilik kedai runcit itu bersetuju untuk membayar lebihan bayaran berjumlah RM1,227.27 kepada warga emas tersebut.

Ujarnya, peniaga itu hanya mengenakan bayaran sebanyak RM7.30 bagi sesikat pisang yang merupakan harga asal buah tersebut.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan KPDNHEP Kelantan telah menyelesaikan aduan itu semalam. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI