KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mencatatkan potensi jualan sebanyak RM3.2 juta pada hari kedua Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC).
Pegawai Urus Setia pameran MEDAC, Zulkarnain berkata, sebanyak 33 Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) mengambil bahagian serta 37 sesi pemadanan berjaya direkodkan bagi tempoh dua hari program itu berlangsung.
“Hampir 30 syarikat dibawakan oleh MEDAC bagi membantu usahawan yang mencari peluang untuk mengembangkan perniagaan mereka.
“Dalam pameran padanan perniagaan ini, kami amat mengalu-alukan kepada semua PKS dan usahawan online untuk turut terlibat dan mengambil bahagian,” katanya.
Seorang usahawan PKS, Azlinawati Baharuddin, 35, berkata, banyak perkara yang dapat dipelajari dan diambil sebagai panduan daripada pameran ini.
“Saya sebenarnya sudah berniaga selama lima tahun, sudah banyak bengkel dan kelas saya masuk tapi tidak berjaya lagi.
“Apabila saya datang ke pameran padanan perniagaan ini, rupanya banyak perkara yang saya tidak tahu sebelum ini menyebabkan perniagaan saya lambat untuk maju,” katanya.
Dalam pada itu, sesi padanan ini bukan sahaja dibuka kepada perniagaan fizikal malah memberi peluang juga kepada perniagaan online melalui hubungan bersama orang tengah (Market Linker) bagi menembusi pasaran yang lebih besar.
Selain itu, seorang usahawan online, Sarah Azmi, 25, berhasrat untuk memperluaskan pasaran produknya yang kini hanya tertumpu di dalam media sosial.
“Sebelum ini saya hanya menggunakan media sosial sebagai medium utama. Tak sangka rupanya ada banyak syarikat yang menawarkan perkhidmatan distribusi serta model perniagaan bagi terutama e-dagang,” jelasnya. K! ONLINE.