fbpx

Marsyal usah terlalu ‘rancak’ jaga trafik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua lelaki yang bertindak sebagai marsyal di lampu isyarat Sua Betong baru-baru ini.

Aktiviti berkonvoi dengan menunggang motosikal bersama rakan-rakan pada hujung minggu atau cuti umum sememangnya menyeronokan, tambahan pula keluar macam orang bujang.

Makan sedap-sedap di restoran ‘viral’ dan pergi ke tempat menarik sambil bergelak dan bergambar sakan bersama kawan-kawan sekelab.

Setelah berbulan-bulan lamanya aktiviti berkonvoi tidak dapat dilakukan ekoran pintu sempadan daerah dan negeri ditutup akibat penularan Covid-19, aktiviti itu kini semakin rancak semula.

Setiap hujung minggu dan cuti umum, kedai-kedai makan popular seperti Restoran Kari Kambing 40 Hari, Lemang To’Ki, Nasi Bamboo Sungai Klah, Kopi Ladang dan macam-macam lain pastinya penuh dengan geng-geng motor.

Kadangkala kedai-kedai seperti itu cuma penuh dengan kumpulan ini, sekali datang bukannya empat atau lima orang sahaja, malah puluhan orang.

‘Kaki-kaki’ konvoi ini melibatkan pelbagai golongan, daripada mat rempit sehinggalah mereka yang bergelar Datuk Seri, cuma berbeza motosikal yang ditunggang.

Kebiasaannya, mereka yang menunggang motosikal berkuasa tinggi dianggap golongan kaya dan berada, manakala motosikal kapcai pula dilabel sebagai mat rempit.

Namun, sejak kebelakangan ini, terdapat segelintir kumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi membuat ‘onar’ sehingga memburukkan imej mereka yang dipandang lebih ‘berakal’.

Mungkin segelintirnya lupa diri apabila berkonvoi beramai-ramai dan seolah-olah jalan raya itu hanya mereka yang membayar cukai jalan.

Kes pertama yang berlaku sejak rentas negeri dibenarkan melibatkan beberapa marsyal motosikal berkuasa tinggi yang memberhentikan kenderaan awam bagi memberi laluan kepada rakan-rakan mereka di lampu isyarat Sua Betong, Port Dickson pada 20 November lalu.

Kejadian itu sempat dirakam pengguna jalan raya lain dan akibatnya, lima individu diambil keterangan ketika mereka hadir menyerah diri di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson.

Selepas kejadian itu, mungkin ramai yang menyangka tiada lagi marsyal yang berani berlagak seperti polis trafik, tetapi rupa-rupanya ‘penyakit’ itu mula berjangkit.

Tidak sampai sebulan, beberapa penunggang motosikal besar yang bertindak sebagai marsyal dilihat memberi arahan supaya memperlahankan kenderaan menerusi satu rakaman video yang tular di Facebook.

Kejadian yang berlaku di Port Dickson pada Ahad lalu menyebabkan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop memberi amaran supaya jangan datang ke negeri tersebut jika mahu berlagak sebagai polis dan menahan kenderaan sesuka hati.

Jika ketua polis negeri sendiri kecewa dengan sikap segelintir penunggang motosikal itu, inikan pula pengguna jalan raya lain yang muak melihat gelagat mereka.

Berkonvoilah mengikut peraturan, bukannya tunjuk lagak dengan motosikal ‘kayangan’.

Pengguna jalan raya lain tidak perlu melayan kerenah marsyal tidak bertauliah sama ada kelab motosikal atau kereta. Rakamkan aksi mereka langgar peraturan jalan raya dan lapor kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI