fbpx

Lebih 24,000 peluang kerja menanti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMMED AZMAN (berdiri, kanan) membantu seorang pencari kerja pada Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Lebih 24,000 peluang kerjaya menanti pencari kerja pada Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia anjuran Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya, PERKESO sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula semalam sehingga Sabtu ini.

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kira-kira 74 majikan daripada pelbagai industri termasuk syarikat besar dan ternama seperti Ex­xonMobil, Prasarana, UOA Group mengambil bahagian dalam karnival berkenaan.

Beliau berkata, penganjuran karnival itu merupakan komitmen berterusan PERKESO dalam membantu merancakkan semula ekonomi negara dan memberi ruang serta peluang kepada masyarakat umum untuk mencari pekerjaan.

“Apa yang menariknya dalam penganjuran karnival pekerjaan kali ini, kami mengetengahkan konsep hibrid, di mana kami mengadakan aktiviti fizikal yang berlangsung di Pusat Konven­syen Kuala Lumpur (KLCC).

“Selain itu, kami turut mengadakan aktiviti ini secara dalam talian khusus bagi pencari kerja yang tidak dapat hadir secara fizikal,” katanya kepada Kosmo!.

PEGAWAI PERKESO sedang membantu seorang pencari kerja pada Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.

Tambah Mohammed Azman, pencari kerja juga boleh mengikuti taklimat dan ceramah secara dalam talian menerusi beberapa pusat satelit MYFutureJobs di seluruh Malaysia serta di platform media sosial rasmi PERKESO seperti Facebook dan YouTube.

“Kami juga akan mengadakan sesi Facebook Live bagi aktiviti-aktiviti yang akan berlangsung sepanjang tiga hari di karnival ini agar lebih ramai rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada penganjuran karnival kerjaya kali ini.

“Ini adalah semangat keprihatinan dan Keluarga Malaysia yang kami amalkan agar tiada siapa pun yang tercicir dalam mendapat manfaat daripada penganjuran aktiviti yang kami laksanakan khususnya melibatkan perkhidmatan pekerjaan,” ujarnya.

Sementara itu, Nazrul Effendy Nordin, 39, berkata, dia hadir pada karnival itu bagi mendapatkan kerja baharu untuk menyara isteri dan tiga orang anaknya.

Katanya, dia yang sebelum ini bekerja di dalam bidang pembinaan di sebuah syarikat di Kerteh, Terengganu ditamatkan kontrak kira-kira sebulan lalu.

“Sebelum ini saya bekerja dalam bidang pembinaan dan selepas ditamatkan kontrak bulan lepas, saya tidak mempunyai kerja tetap.

“Saya berharap hari ini (semalam) dapat mencari kerja baharu untuk menyara keluarga saya. Kalau boleh dapat kerja dalam bidang yang saya pelajari iaitu kejuruteraan elektrik,” jelasnya yang berasal dari Jenja­rom, Banting.

Bagaimanapun, katanya, dengan keadaan pandemik dan ekonomi sekarang, dia tidak kisah sekiranya mendapat pekerjaan yang bukan dalam bidang­nya.

Harapan sama disuarakan G. Tanooshny, 26, agar menemui pekerjaan sesuai selepas diberhentikan kerja setahun lalu.

“Saya bekerja di Petaling Jaya, namun akibat pandemik Covid-19, syarikat tidak dapat bertahan dan terpaksa memberhentikan sebahagian pekerja,” kata graduan Universiti Putra Malaysia itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI