PETALING JAYA – Penduduk di enam negeri dinasihatkan untuk terus berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga ekoran amaran hujan lebat serta ribut petir yang dijangka berlaku sehingga lewat petang hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, amaran ribut petir itu melibatkan negeri di Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sarawak dijangka berlaku sehingga pukul 7 malam hari ini.
Menurut MetMalaysia, keadaan buruk ini melibatkan kawasan Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim di Perak.
“Di Pahang, melibatkan kawasan Pekan dan Rompin.
“Selain itu, di Negeri Sembilan, melibatkan kawasan Seremban dan Rembau,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, di Melaka dan Johor, kesemua kawasan bakal mengalami keadaan hujan lebat serta ribut petir yang dijangka berlaku sehingga lewat petang hari ini.
Manakala di Sarawak, kawasan yang terlibat adalah Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Miri (Subis dan Miri) dan Limbang (Limbang). – K! ONLINE