fbpx

Gmie tinggal pesan jaga ibu, keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahli keluarga Gmie menabur bunga di pusaranya di Tanah Perkuburan Kampung Medan hari ini.

KUALA LANGAT – Penyanyi dan vokalis kumpulan Screen, Gmie sempat meninggalkan pesanan terakhir kepada anaknya agar sentiasa menjaga ibu mereka sekiranya dia telah tiada di dunia ini.

Allahyarham Gmie atau nama sebenarnya, Hajmi Ibrahim menghembuskan nafas terakhir pukul 2.30 pagi pada usia 50 tahun di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dekat sini akibat penyakit buah pinggang.

Hazim Syahmi, 19, berkata, pesanan itu dititipkan ketika arwah ayahnya itu berada di rumah mereka di Jalan Aman Kampung Medan, Banting.

Jelas anak ketiga daripada lima beradik itu, arwah bapanya pada awalnya mengalami jangkitan kuman di kaki dan disyaki oleh doktor disebabkan masalah buah pinggang.

Allahyarham Gmie atau nama sebenarnya, Hajmi Ibrahim.

“Selepas menerima rawatan, papa ( panggilan Gmie) boleh berjalan dengan menggunakan tongkat namun kesihatannya merosot sejak tiga bulan lalu hingga dimasukkan ke hospital.

“Sebelum dimasukkan ke hospital, papa mengingatkan agar menjaga mama, Siti Royani Gumari, 48, dan keluarga. Itu pesanan paling diingati dan seolah-olah papa mengetahui akan meninggalkan kami,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan Kampung Medan hari ini.

Terdahulu, Allahyarham Gmie selamat dimandikan dan disolatkan di Masjid Jamiatul Islamiah Batu 9 Kampung Medan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan tersebut kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

Arwah Gmie menempa nama dengan kumpulan Screen dan popular dengan rangkaian lagu seperti Bila Cinta Didusta dan Tak Suka Tak Apa pada era 1990-an.

Pada 2016, arwah menyertai pertandingan musim ketiga program realiti, Gegar Vaganza (GV3) dan berentap hingga ke pentas akhir serta meraih tempat keenam. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI