fbpx

Dulu diserbu pelancong, sekarang lengang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemandangan pada 22 November lalu menunjukkan pulau pelancongan Gili Trawangan sepi tanpa kehadiran pelancong. - AFP

JAKARTA – Cef Ilhani selalu menghidangkan masakan Jepun kepada pelancong pada setiap malam tetapi sekarang, pendapatannya cuma AS$3(RM12.60) sehari. Dia kini hanya menjual makanan bergoreng di jalan-jalan hampir lengang di Gili Trawangan yang suatu masa dahulu dipenuhi pelancong.

Pandemik koronavirus menyebabkan semua resort dan restoran di Kepulauan Gili sunyi sepi. Lokasi itu suatu masa dahulu terkenal kerana air lautnya yang biru, pantai berwarna emas dan kepelbagaian hidupan marin.

Terletak tidak jauh dari Bali, sektor pelancongan dan ekonomi tempatan rancak membangun dengan Gili Trawangan menerima kira-kira 1,500 pelawat setiap hari.

Bagaimanapun, apabila pihak berkuasa kali pertama melaksanakan perintah berkurung Covid-19 di seluruh negara pada Mac 2020 dan menutup sempadan kepada pelawat antarabangsa, restoran Ilhani tidak dapat bertahan.

Hampir dua tahun selepas itu, dia terus bergelut untuk mencari nafkah buat isteri dan empat anaknya.

“Kehidupan kini amat sukar. Saya menjual gorengan kerana itu sahaja yang mampu dibeli oleh penduduk tempatan. 

“Pada masa lalu, apa sahaja yang kami jual, pelancong akan membelinya tetapi kini anda dapat lihat pulau ini seperti pulau hantu,” katanya.

Tiga pulau di Gili iaitu Trawangan, Meno dan Air sekian lama bergantung kepada pelancong asing. Terdapat sekitar 800 hotel dengan 7,000 bilik tetapi kini cuma 20 hingga 30 fasiliti tersebut masih dibuka, demikian menurut Pengerusi Persatuan Hotel Gili, Lalu Kusnawan. Beliau menguruskan sebuah resort di Trawangan.

Kedai, bar, kafe dan restoran semuanya kosong, malah sebilangannya diiklan untuk dijual. Debu dan sarang labah-labah memenuhi meja dan kerusi yang tidak lagi digunakan.

Pekerja yang suatu masa dulu bekerja di sana,  kini terpaksa mencari cara lain untuk menyara kehidupan mereka. Sesetengahnya menjadi  nelayan untuk menyuara keluarga.

Pada minggu lalu, agensi pelancongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran bahawa pandemik Covid-19 akan menyebabkan sektor pelancongan global mengalami kerugian mencecah AS$2 trilion (RM8.4 trilion)  tahun ini, sama seperti kerugian tahun lalu.

Ketibaan pelancong antarabangsa pada tahun ini kekal antara 70 hingga 75 peratus di bawah 1.5 bilion ketibaan yang direkodkan pada 2019 sebelum pandemik melanda, demikian menurut Pertubuhan Pelancongan Sedunia sambil menambah, pemulihan sektor tersebut diramal ‘perlahan’ dan ‘rapuh’.

Ilhani bimbang penderitaan yang dialami akan berterusan kerana pemerintah Indonesia kini merancang melaksanakan sekatan Covid-19 lebih ketat kerana menjangka gelombang jangkitan baharu akan melanda.

Di Pelabuhan Gili Trawangan kebanyakan bot yang dahulunya  digunakan untuk membawa pelancong dari pulau ke pulau kini terbiar selama berbulan-bulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI