fbpx

Daie influencer rancakkan usaha dakwah masa kini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
USAHA dakwah perlu diteruskan bagi menjamin ummah yang berilmu dan mempunyai jati diri sebagai seorang Muslim. – Gambar hiasan

INFLUENCER atau juga dikenali sebagai pempengaruh dalam bahasa Melayu merupakan kerjaya yang muncul hasil daripada perkembangan teknologi media digital.

Golongan ini menjadi popular dalam kalangan generasi muda masa kini dan semakin ramai pengikut, seseorang influencer dikatakan semakin hebat pengaruhnya.

Apa yang dikongsikan oleh mereka seringkali menjadi fenomena dan tular di laman media sosial.

Mereka sering mendapat like, love dan share yang tinggi daripada pengikut memandangkan telah menjadi orang berpengaruh yang diterima dalam kalangan netizen.

Oleh itu, segala tindakan dan perkongsian dalam mana-mana kandungan media sosial seseorang influencer mudah diterima dan diikuti oleh pengikut masing-masing.

Senario ini dilihat menjadi peluang yang besar terutama bagi seorang pendakwah atau daie muda yang memilih menyampaikan mesej dakwah melalui media baharu.

Ia disebut dengan nama daie influencer kepada pendakwah yang menyampaikan dakwah secara konsisten melalui akaun media sosial seperti Instagram, Twitter mahupun TikTok dan sebagainya.

Kewujudan mereka jika dilihat daripada aspek positif berupaya merancakkan usaha dakwah melalui media digital.

Daie seharusnya berfikiran positif dalam menerima media sosial sebagai alat bagi memenuhi tanggungjawab dan fardu kifayah demi kelangsungan dakwah.

Namun, sudah tentu matlamat, rukun dan prinsip dakwah perlu dipatuhi walaupun berdepan dengan sasaran dakwah yang gemarkan hiburan dan kandungan yang lebih santai.

Untuk itu, daie influencer perlu memahami matlamat penyampaian dakwah kepada para pengikut bukan sekadar bermatlamatkan dakwah santai melalui kandungan disediakan, bahkan berupaya mendekatkan para pengikut mereka kepada Allah dan Islam.

Sebagai seorang daie muda, kewajipan berdakwah wajar difahami dengan baik untuk menyantuni golongan sasaran.

Dalam hal ini, Allah menjelaskan kewajipan berdakwah sebagai fardu kifayah melalui surah Ali-Imran ayat 104 yang mana menjadi dalil kepada setiap daie untuk meneruskan usaha dakwah kepada masyarakat.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung”.

Prinsip amar makruf yang menyeru kepada kebaikan serta nahi mungkar yang mencegah kemungkaran dibawa secara sepadu tanpa diasingkan.

Usaha dakwah merupakan usaha untuk membawa kebaikan dalam masyarakat.

Namun, pada masa sama, daie juga perlu mencegah kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat.

Sejauh mana tanggungjawab daie influencer dalam menyampaikan mesej dakwah yang dapat melunakkan hati pengikut mereka?

Persoalan ini kerap diajukan kepada daie muda yang berhasrat menjadikan media sosial sebagai medan perjuangan.

Keseronokan melayari laman media sosial dibimbangi menghilangkan matlamat utama para daie meneruskan dakwah melalui platform terkini.

Cabaran berganda kepada daie influencer dalam usaha memulakan usaha dakwah secara santai, namun pada masa sama tidak menghilangkan prinsip amar makruf, nahi mungkar.

Mereka sendiri turut diuji dengan populariti dan pengaruh daripada kumpulan pengikut yang ramai.

Memilih menjadi popular juga merupakan ujian yang perlu diterima mereka.

Situasi ini menjadi ujian buat para daie influencer apabila turut dituding sebagai orang yang hanya pandai berbicara, tetapi diri sendiri juga tidak mengamalkan apa yang diucapkan.
Ini merupakan fitnah akhir zaman yang menjadi penghalang kepada kejayaan dakwah apabila daie dilihat tidak menjaga personaliti, terpalit dengan gosip dan pembohongan, insiden yang tular, bahkan tidak menghormati ilmu agama yang terbit dalam diri mereka.

Firman Allah dalam Surah al-Saf ayat 2 hingga 3 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kami memperkatakan apa yang kamu tidak melakukanya. Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya”.

Ayat ini merupakan dalil yang menunjukkan tutur lisan dan bicara yang perlu seiring dengan amalan.

Ia menjadi panduan kepada para daie agar menunjukkan cara berdakwah melalui teladan dalam menyampaikan mesej dakwah.

Sememangnya, dunia maya yang rakus dengan fitnah dan pembohongan dibimbangi turut mengelirukan daie influencer sehingga menghilangkan matlamat utama tugas dakwah.

Kesibukan dan keseronokan melayan para pengikut menyebabkan adakalanya perkongsian ilmu dan tarbiah diri juga jauh daripada diri seorang daie.

Untuk itu, para daie disarankan untuk terus bermuhasabah agar usaha menyantuni sasaran dakwah mendapat keberkatan dan keredaan Allah.

Dr. Rosmawati Mohamad Rasit
Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN