LONDON – Pengkritik bola sepak England, Rio Ferdinand percaya bahawa Jude Bellingham mampu meningkatkan prestasi pasukan yang berjaya mendapatkan khidmatnya.
Pemain berusia 18 tahun itu dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan ketika Borussia Dortmund menewaskan Besiktas 5-0 pada aksi Liga Juara-Juara di Signal Iduna Park kelmarin dan kini menjadi antara pemain paling sensasi di Eropah.
“Jude Bellingham antara pemain yang memiliki pakej yang lengkap untuk menjadi kapten dan pemimpin dalam pasukan. Dia juga mampu bermain di posisi yang berbeza dan menguasainya.
“Saya fikir ia bukanlah anggapan yang melampau kerana dia sudah membuktikannya dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Perkara yang mungkin perlu ditambah baik adalah kemahiran dan posisi badan.
“Tidak ramai pemain pada usianya yang mampu bermain seperti itu. Mana-mana pasukan yang mampu mendapatkan khidmatnya sangat bertuah kerana dia mampu memberikan nilai tambah dalam semua posisi serta kepada setiap pemain,” katanya.
Seorang lagi pengkritik, Owen Hargreaves turut senada dengan Ferdinand sambil menyifatkan bahawa kelab-kelab di England perlu memburu Bellingham berbanding rakan sepasukannya, Erling Haaland.
“Semua orang hanya nampak Haaland dan sanggup berhabis untuk mendapatkannya. Secara jujur, jika saya mengendalikan kelab besar di England, saya akan mendapatkan Bellingham,” jelasnya. – AGENSI