MUNICH – Bintang Bayern Munich, Thomas Muller melabel gergasi Sepanyol, Barcelona sebagai sebuah pasukan yang tidak cukup kompetitif untuk bersaing di pentas tertinggi.
Ia berdasarkan prestasi hambar ditampilkan Barcelona yang menyaksikan Bayern mudah melakar kemenangan 3-0 pada aksi terakhir Kumpulan E Liga Juara-Juara di Allianz Arena awal pagi semalam.
Kemenangan itu secara tidak langsung menyingkirkan The Catalans daripada melangkah ke peringkat kalah mati dan lebih malang jatuh ke Liga Europa selepas ini.
“Secara teknikal, Barcelona memiliki pemain yang baik tetapi mereka gagal menyaingi intensiti permainan kami,” kata Muller yang berjaya meledak satu gol buat Bayern awal pagi semalam.
Selain Muller, dua lagi gol skuad bimbingan Julian Nagelsmann dalam aksi tersebut dijaringkan oleh Leroy Sane dan Jamal Musiala.
Gol daripada Muller itu menyaksikan dia sudah meledak lapan jaringan daripada tujuh perlawanan menentang Barcelona sepanjang pertemuan kedua-dua pasukan di pentas Liga Juara-Juara.
Bukan itu sahaja, Muller juga muncul pemain pertama dari Jerman yang berjaya meledak 50 gol peribadi di pentas Liga Juara-Juara.
“Walaupun ia cuma gol yang biasa tetapi saya akan tetap meraikannya. Ia adalah jaringan ke-50 saya di pentas Eropah dan saya percaya jumlah ini akan meningkat nanti,” jelas Muller. – AGENSI