PUTRAJAYA – Akta Pergigian 2018 (Akta 804) akan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan bagi menjamin kualiti perkhidmatan pergigian dan keselamatan pesakit serta meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan itu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, akta tersebut kecuali bagi tiga peruntukan yang akan dikuat kuasa pada 1 Januari 2025 akan menggantikan Akta Pergigian 1971 (Akta 51) yang telah mengawal selia amalan dalam bidang pergigian selama 50 tahun.
Katanya, akta ini memperuntukkan penubuhan Majlis Pergigian Malaysia dan Lembaga Juruterapi Pergigian Malaysia, pendaftaran doktor pergigian dan juruterapi pergigian, pengawalseliaan amalan pergigian dan perkara-perkara berkaitan.
“Ia juga mengandungi sembilan bahagian dan 104 seksyen ini mensyaratkan hanya pengamal yang berkelayakan, berwibawa dan profesional akan didaftarkan dan layak untuk memberi perkhidmatan pergigian.
“Peruntukan baharu dalam akta itu melibatkan Peperiksaan Kelayakan Profesional bagi tujuan pendaftaran sebagai doktor pergigian, pendaftaran pakar pergigian dan juruterapi pergigian, keperluan pengumpulan mata Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) dan Perlindungan Tanggung Rugi Profesional bagi permohonan perakuan pengamalan dan penguatkuasaan dalam amalan pergigian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairy Jamaluddin berkata, semua pengamal akan diwajibkan mengumpul markah Pembangunan Profesional Berterusan dan memperoleh Perlindungan Tanggung Rugi Professional sebelum memperbaharui perakuan pengamalan apabila akta itu dikuat kuasa tahun depan.
Katanya, akta berkenaan juga membolehkan penguatkuasaan diambil ke atas amalan pergigian yang tidak mematuhi peruntukan akta tersebut terutamanya pengamalan pergigian haram. – K! ONLINE.