JOHOR BAHRU – Polis berjaya menggempur satu sindiket perjudian dalam talian yang dijalankan sekumpulan warga asing setelah menyerbu sebuah kediaman mewah di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini, Rabu lalu
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan yang dijalankan pada pukul 2 petang itu, seramai lima lelaki warganegara Indonesia ditahan.
Katanya, mereka yang bekerja sebagai operator tambah nilai dan pengeluaran kredit itu berusia antara 21 hingga 29 tahun.
“Serbuan yang dijalankan itu mendapati sindiket berkenaan menjadikan premis tersebut sebagai pusat panggilan bagi tiga laman sesawang perjudian yang menyasarkan pelanggan warga tempatan.
“Nilai kutipan sindiket berkenaan adalah antara RM3,000 hingga RM10,000 sehari dimana mereka juga telah beroperasi sejak Mac lalu,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Anggaran keuntungan yang diraih sindiket tersebut dijangka mencecah sehingga RM2.7 juta.
Menurut Ayob Khan lagi, semua transaksi yang dijalankan sindiket ini melibatkan perbankan atas talian dengan beberapa akaun telah dikenal pasti yang mana semuanya merupakan bank tempatan. – K! ONLINE