fbpx

Versi ‘superior’, debut cemerlang Rachel Zegler

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM West Side Story yang menelusuri kisah cinta antara Tony dan Maria mula ditayangkan di pawagam hari ini.

DIADAPTASI daripada naskhah muzikal tahun 1957 dengan judul sama, West Side Story diterjemahkan dalam versi ‘remake’ oleh sutradara berpengalaman, Steven Spielberg dengan kualiti yang wajar diberikan tepukan sebagai simbolik sebuah penghasilan.

Bagaimanapun, penulis yang lebih banyak terdedah dengan kesusasteraan Inggeris seperti Romeo and Juliet, terpaksa mengakui, tidak begitu lazim dengan tragedi cinta sebagaimana yang dilalui, Tony dan Maria dalam naskhah tersebut.

Cinta yang diangkat dalam naskhah berkenaan masih tentang sepasang kekasih muda tidak direstui keluarga.

West Side Story versi garapan Spielberg kali ini merupakan sebuah filem muzikal. Buat penulis secara peribadi, pembikin Barat selalu berhasil mendokumenkan filem bercorak muzikal dan West Side Story terus menebarkan realiti tersebut.

APA yang menarik tentang West Side Story adalah kualiti sinematografi, persembahan lakonan pelakon terlibat dan lakon layar yang dijayakan oleh Tony Kushner.

Jika kalian sukakan La La Land dan barangkali The Greatest Showman, berkemungkinan besar kalian juga akan menyukai West Side Story. Namun perlu diingatkan, filem ini bukan jenis filem muzikal ‘fun’ seperti Pitch Perfect.

Penonton perlu meninggalkan segala rasa seronok di rumah dan hadir ke panggung dengan fikiran terbuka bahawa dalam dunia ini, cinta kadang-kadang memerlukan pengorbanan.

Biarpun tragedi West Side Story bukanlah sebuah kisah yang selalunya dicanang di Malaysia (kalau ingin dibandingkan dengan tragedi cinta Romeo & Juliet tulisan William Shakespeare), hal tersebut bukan satu permasalahan.

Sinematografi, Zegler

Secara jujurnya, bukan mudah untuk menjayakan sesebuah filem muzikal. Permainan atau pergerakan kamera perlu tepat, visual yang dirakam mestilah bersifat relevan dengan jalan cerita terutama berkaitan kisah cinta dan ‘pertempuran’.

Aspek sedemikian nyata diterjemahkan dengan cukup gilang oleh pengarah dan kru terlibat dalam bab sinematografi.

Indah dan dipadankan dengan cocok bersama dendangan lagu yang berkumandang, semuanya ibarat sebuah temasya Olimpik.

Seperkara lagi yang begitu mencengkam adalah segi persembahan lakonan. Ansel Elgort sebagai Tony sangat hebat dan apa yang lebih hebat adalah debut lakonan filem pendatang baharu bernama Rachel Zegler.

SELAIN berkisar tragedi cinta antara Tony dan Maria, filem ini turut membawa penonton menyelami masalah perseteruan dua geng jalanan, Jets dan Sharks.

Zegler bukan sahaja sangat mengujakan untuk didengari sebagai seorang penyanyi, dia juga hebat di pentas lakonan.

Persembahannya sebagai Maria, sangat berkelas dan barangkali boleh jadi ‘ugutan’ untuk perebutan pencalonan pelakon wanita terbaik Oscar tahun hadapan.

Dari segi terjemahan plot, ramai yang memuji ‘kesetiaan’ olahan West Side Story versi baharu ini dengan material asal. Berbanding versi filem 1961, versi yang 2021 dikatakan lebih baik atau ‘superior’.

Itu merupakan satu pujian besar memandangkan West Side Story (1961) menang 10 trofi Oscar. Bukan itu sahaja, judul berkenaan merupakan naskhah paling laris untuk tahun 1961.

Kisah cinta tragik Tony dan Maria yang dibebani perseteruan dua geng jalanan, Jets dan Sharks mula ditayangkan di pawagam bermula hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI