ABU DHABI – Kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan pelaksanaan minggu bekerja baharu yang paling singkat di dunia, iaitu hanya empat hari setengah seminggu, berkuat kuasa 1 Januari 2022, lapor laman berita Wionews kelmarin.
Di bawah langkah tersebut, waktu kerja bagi Isnin hingga Khamis adalah bermula pada pukul 7.30 pagi hingga 3.30 petang, manakala bagi hari Jumaat, waktu bekerja bermula pada pukul 7.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Bahkan bagi pekerja kerajaan, mereka mempunyai pilihan untuk bekerja dari rumah pada hari Jumaat dan menyusun jadual waktu bekerja mengikut masa yang fleksibel.
UAE merupakan negara pertama di dunia yang melaksanakan minggu kerja peringkat nasional yang lebih pendek berbanding negara-negara lain seluruh dunia dengan amalan bekerja lima hari seminggu.
Langkah bagi menjadikan hujung minggu lebih panjang itu adalah sebahagian daripada percubaan kerajaan UAE untuk meningkatkan keseimbangan kerja dan kehidupan serta kesejahteraan sosial di samping menambah baik prestasi untuk mempromosikan daya saing ekonomi.
Ia juga dilihat dapat menghubungkan UAE dengan pasaran global secara lebih baik dari sudut ekonomi, sekali gus mencerminkan kedudukan strategik negara itu di peta ekonomi global. – AGENSI