fbpx

Saya masih ada ‘ketagih’ dengan lakonan – Amerul Affendi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMERUL AFFENDI

PETALING JAYA – Pelakon berbakat besar Amerul Affendi mengakui terpaksa memikirkan cara lain untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas menyedari tidak lagi boleh bergantung harap kepada kerjaya lakonan semata-mata.

Amerul yang sebelum ini pernah menyuarakan kekesalan berhubung isu ‘jumlah pengikut’ dalam laman sosial berkata, dia sememangnya agak terkesan apabila jumlah pengikut dijadikan kriteria utama oleh penerbit mahupun stesen televisyen dalam soal pemilihan pelakon.

“Memang saya agak terasa tentang isu jumlah pengikut dalam laman sosial. Saya terfikir apa guna saya belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), habiskan masa dan wang ringgit selama tiga tahun di sana?

“Tetapi bila habis belajar nak mahu bekerja dalam industri (sebagai pelakon), perkara yang dinilai adalah jumlah pengikut dalam laman sosial dan bukannya perkara yang saya timba sewaktu di Aswara,” katanya.

Disebabkan perkara tersebut, Amerul berkata dia mula terfikir untuk memulakan pekerjaan lain yang boleh dijadikan sebagai penyumbang pendapatan utama dan menjadikan karier lakonan sebagai hobi.

“Sebab itu sekarang saya berkecimpung dalam bidang pertanian dan penternakan. Keputusan itu dibuat kerana saya sudah ‘mengalah’ dengan industri dan jadikan kerjaya lakonan sebagai hobi sampingan,” katanya sewaktu ditemui usai tayangan perdana Prebet Sapu di TVG One Utama, Petaling Jaya, semalam.

Disoal sama ada dia terfikir untuk meninggalkan terus kerjayanya sebagai pelakon, Amerul berkata tidak mudah untuknya berbuat demikian kerana masih sayangkan kerjaya tersebut.

“Saya tidaklah sampai tahap untuk berhenti terus dalam dunia lakonan kerana masih ada rasa ‘ketagih’ untuk berlakon,” ujarnya.

Membawakan watak sebagai Aman dalam filem Prebet Sapu arahan Muzzamer Rahman, Amerul berkata filem dengan bajet sebanyak RM300,000 itu menceritakan tentang realiti anak muda hari ini yang terpaksa ‘berjuang’ untuk meneruskan hidup walaupun mempunyai segulung ijazah.

Menyentuh beberapa aspek dalam negara secara sinis, Amerul tidak takut ‘bersuara’ menerusi filem tersebut kerana maksud yang hendak disampaikan dibuat secara halus tentang konflik yang berlaku di Malaysia.

“Makin hari anak mud akita hidup dalam tekanan. Bukan sahaja golongan muda, bahkan golongan berusia hari ini juga hidup tertekan.

“Pelbagai faktor menjadi punca perkara seumpama itu berlaku seperti situasi politik, ekonomi dan pandemik Covid-19,” katanya.

Dalam masa sama, Amerul turut melahirkan rasa puas dan teruja apabila Prebet Sapu yang ‘diperam’ selama empat tahun akhirnya bakal menemui penonton di pawagam pada 16 Disember nanti. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI