PETALING JAYA – Selepas melepasi fasa trimester pertama, barulah pelakon Nadya Syahera ada keberanian untuk berkongsi berita gembira dengan mendedahkan dia kini sedang hamil anak ketiga.
Hal ini kerana ujar pelakon berusia 28 tahun itu, dia terpaksa menyembunyikan berita tersebut kerana berasa risau dengan tanggapan jahat dan kata-kata kurang sihat untuk didengar daripada orang sekeliling.
Kata Nadya, dia pernah berdepan cakap-cakap orang luar yang tak senang melihat kebahagiaan dimilikinya sekali gus membuatkan dirinya tidak dapat menikmati kegembiraan tersebut.
“Kita merancang tapi Allah sebaik-baik perancang. Nombor tiga dalam perjalanan. Alhamdulillah.
“Ketika tahu hamil, gementar dan risau. Tak sangka tapi tetap teruja nak melalui fasa-fasa kehamilan ini. Mula-mula ingatkan sebab vaksin, kitaran haid tak betul.
“Ada juga risau mulut-mulut orang, tanggapan jahat dan kata-kata kurang sihat untuk didengar. Sebab berdasarkan pengalaman lepas, ada saja yang tak senang dengan khabar gembira kita kan. Cakap itu ini yang buatkan saya tak gembira dengan hal yang sepatutnya saya raikan. Jadi, sebab itu saya simpan dulu,” katanya.
Dia berkongsi tentang berita gembira tersebut menerusi perkongsian sebuah video dalam Instagramnya sebentar tadi dengan memuat naik keputusan ujian kehamilan yang dilakukannya.
Berkongsi pengalaman hamil anak ketiganya kali ini, pelakon drama Dia Semanis Honey itu berkata, dia mengalami alahan yang teruk ketika fasa awal trimester pertama.
“Alahan pagi dan ‘mood’ naik turun dah habis, cuma awal-awal dulu diuji alahan teruk. Ditambah pula dengan ‘benda pelik’, buatkan saya lembik tak boleh makan dengan baik selama hampir dua bulan.
“Sekarang dah masuk trimester kedua. Saya enjoy dan makan saja apa yang nak. Doakan kehamilan saya dipermudahkan sampailah bayi keluar tahun depan. Selepas hampir empat tahun beranak pula, saya gementar,” katanya.
Untuk rekod, Nadya mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Hafizul Nawi pada 25 September 2015.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu menimang dua orang cahaya mata, Aleena Rose, 4, dan Mohamad Dayyan, 3. – K! ONLINE