OCEAN GROVE, VICTORIA – Seorang remaja lelaki digigit seekor jerung di bahagian belakang badannya ketika melawan seekor jerung yang menyerang rakannya, lapor akhbar Daily Star semalam.
Jack Shaw, 15, berenang di pantai Australia pada malam Isnin lalu ketika menyedari rakannya, Tiarna, 15, tiba-tiba ditarik ke dalam air.
Jack dengan berani melompat ke dalam air untuk menyelamatkan Tiarna lalu memukul haiwan yang dipercayai jerung terumbu atau jerung pemangsa paus gangsa di pantai Ocean Grove di Victoria.
Namun, setelah menyelamatkan kawannya, belakang Jack digigit sebelum dia sempat menyelamatkan diri.
Anehnya, trauma dialami Jack tidak menghalangnya daripada berseronok menceritakan pengalamannya itu di sekolah.
‘’Saya menoleh dan belakang saya digigit. Berenang! Kami cuba semampu kami untuk ke pesisir pantai,’’ jelas Jack kepada lama berita 9 News.
Jack dilaporkan mengalami luka dalam di belakangnya.
Penyelamat yang tidak bertugas ketika itu bergegas membantu mereka ke tempat lebih selamat.
Menyedari kejadian itu, Dianne Hobbs, seorang jururawat trauma bertindak menggunakan tuala untuk menghentikan pendarahan di kaki Tiarna yang kemudiannya menjalani pembedahan pada hari yang sama.
Menurut pihak berkuasa Perikanan Victoria, Peter Wildekamp, serangan jerung di Victoria bukanlah perkara biasa.
‘’Tiada serangan jerung yang ketara pada lebih 40 tahun lalu,’’ katanya.
Pantai itu ditutup buat sementara waktu untuk pihak berkuasa mencari jerung berkenaan, tetapi kini dibuka semula. – Agensi