HELSINKI – Perdana Menteri Finland, Sanna Marin membuat permohonan maaf berikutan perbuatannya berkunjung ke sebuah kelab malam selepas menjadi kontak rapat pesakit Covid-19, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Marin keluar berseronok pada malam Sabtu lepas, beberapa jam selepas menteri luarnya disahkan positif koronavirus.
Pemimpin tersebut pada awalnya dimaklumkan bahawa beliau tidak perlu mengasingkan diri kerana telah divaksin sepenuhnya. Bagaimanapun, Marin kemudian berkata, beliau tidak sedar menerima mesej teks menasihatinya supaya melaksanakan kuarantin kendiri kerana perlu melakukan ujian saringan Covid-19.
Setelah menyedarinya, Marin segera melakukan ujian Covid-19 dengan mendapat keputusan negatif.
Marin sebelum ini mempertahankan tindakannya itu. Menurut Perdana Menteri tersebut, beliau telah menuruti nasihat setiausaha negara berkenaan kes itu..
Bagaimanapun, melalui catatannya di Facebook, Marin mengakui bahawa beliau sepatutnya menyemak semula garis panduan itu dan membuat pertimbangan yang lebih baik.
‘’Saya sangat menyesal kerana tidak memahami bahawa saya perlu berbuat demikian (kuarantin),’’ tulisnya.
Menerusi garis panduan Covid-19 di Finland, sesiapa yang menerima dua suntikan lengkap vaksin tidak perlu mengasingkan diri sekiranya menjadi kontak rapat, namun perlu berbuat demikian i sementara menunggu untuk melakukan ujian saringan.
Garis panduan berasingan untuk menteri dan pekerja kerajaan juga mengesyorkan tindakan itu dilakukan serta-merta sekiranya terdedah kepada Covid-19, lapor akhbar Helsingin Sanomat.
Bercakap kepada wartawan, Marin berkata, beliau tidak diberikan panduan itu dan sekali lagi memohon maaf atas tindakannya.
Dalam pada itu, pemimpin-pemimpin parti pembangkang meminta Marin supaya menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat. Ahli Parti Gabungan Nasional, Mia Laiho turut berkata, perbuatan Marin adalah ‘tidak bertanggungjawab’. – Agensi