PETALING JAYA – Tindakan pantas seorang pemandu lori mengelak daripada merempuh seorang penunggang motosikal berjaya menyelamatkan nyawa penunggang motosikal tersebut sepertimana video tular di laman sosial hari ini.
Menerusi satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berdurasi 25 saat itu, mamaparkan penunggang motosikal yang berada di laluan kanan dilihat menekan brek secara tiba-tiba menyebabkan dia terpelanting ke tengah jalan.
Secara tiba-tiba, sebuah lori yang berada di lorong sama mengelak menyebabkan dia merempuh bahu jalan dan terbabas.
Sementara itu, rakaman yang dikongsikan oleh Rickson Goh di laman Facebook mendakwa kemalangan itu berlaku di Jalan Kuching pada 5 November lalu dan punca kejadian didakwa disebabkan terdapat kenderaan lain yang ingin menukar lorong.
Rata-rata orang ramai memuji tindakan pantas dan berani pemandu lori mengelak daripada merempuh individu terbabit sehingga sanggup menggadaikan nyawanya.
“Memang puji pemandu lori yang sanggup taruhkan nyawa sendiri demi selamatkan penunggang motosikal itu, terbaik dan semoga semuanya dalam keadaan baik,” ujar Noor Azwan.
“Terbaik kepada pemandu lori, dia menyelamatkan nyawa orang lain tepat pada masanya,” kata Goh Hin San pula.
“Berani betul pemandu lori mengelak macam itu, bahaya. Tapi terima kasih dah berkorban demi nyawa orang lain,” demikian komen Thomas. – K! ONLINE