LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Antonio Conte berdepan tugas getir untuk menyelamatkan maruah pasukan itu dalam misi ke peringkat kalah mati Liga Konferensi Eropah.
Jika mahu meneruskan saingan dalam kejohanan tahap ketiga Eropah itu, Spurs tiada pilihan selain menewaskan, Stade Rennes pada aksi terakhir Kumpulan H di Stadium Tottenham Hotspur awal pagi esok.
Lebih mencabar apabila tujuh pemain skuad utama Spurs serta dua ahli barisan kejurulatihan kelab itu dikatakan dijangkiti virus Covid-19.
Jika khabar angin itu benar, ia bermakna kesemua mereka perlu menjalani proses isolasi selama 10 hari sekali gus terlepas aksi menentang Rennes dan tiga aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brighton, Leicester City dan Liverpool bulan ini.
Berita itu tentunya membimbangkan para peminat Spurs yang tidak rela menyaksikan pasukan mereka tersingkir di pentas Eropah lebih-lebih lagi selepas menang 3-0 ke atas Norwich pada aksi EPL baru-baru ini.
Malah, Conte turut memuji kecemerlangan yang dipamerkan barisan pemainnya terutama Lucas Moura yang meledak gol sebelum Davinson Sanchez dan Son Heung-min menambah dua lagi jaringan buat Spurs.
“Moura ada kualiti yang hebat untuk menjaringkan gol. Saya mahu melihat dia terus menambah koleksi jaringannya dalam baki saingan musim ini.
“Saya tidak menafikan dia adalah salah seorang pemain terbaik kami. Jadi, saya mahu melihat sesuatu yang positif untuk aksi selepas ini (bertemu Rennes),” kata Conte selepas tamat perlawanan menentang Norwich.
Memandangkan Spurs tidak mengeluarkan sebarang kenyataan, para peminat terpaksa menunggu senarai rasmi perlawanan menentang Rennes sama ada nama-nama besar seperti Moura, Heung-min atau kapten, Harry Kane dijangkiti Covid-19 ataupun tidak. – AGENSI