fbpx

Malaysia enggan pandang rendah Laos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHENG HOE memberi kata-kata semangat kepada anak-anak buahnya ketika sesi latihan menjelang perlawanan menentang Laos di Stadium Bishan, Singapura hari ini.

PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memberi bayangan tidak akan menurunkan ‘pasukan B’, sebaliknya akan membariskan kesebelasan terbaik pada aksi peringkat Kumpulan B bertemu Laos di Stadium Bishan, Singapura hari ini.

Sebagai rekod, skuad negara memulakan kempen Piala AFF Suzuki 2020 dengan langkah kanan selepas menewaskan Kemboja 3-1 pada aksi pertama Isnin lalu dan kini bertekad untuk meneruskan rekod bersih sebelum menentang Vietnam pada Ahad ini.

CHENG HOE

Kata Cheng Hoe, semua pemain sudah bersedia sepenuh­nya untuk meneruskan momentum kemenangan tetapi pada masa sama perlu berwaspada dengan ancaman yang boleh diberikan skuad Laos nanti.

“Barisan kejurulatihan masih lagi menilai percaturan terbaik untuk aksi menentang Laos tetapi apa yang boleh saya katakan ke­sebelasan pemain terbaik diperlukan dalam usaha membantu pasukan melakar kemenangan.

“Pada masa sama, saya juga mahu pemain simpanan bersedia dengan setiap kemungkinan kerana mereka telah menunjukkan prestasi yang baik ketika dimasukkan bertemu Kemboja seperti Kogileswaran Raj, Arif Aiman, Shahrel Fikri dan Luqman Hakim.

“Mengenai Guilherme de Paula, sekiranya dikekalkan dalam kesebelasan utama saya pasti prestasinya akan meningkat kerana dia cukup bermotivasi untuk membantu pasukan melakar kemenangan.

“Secara keseluruhan, siapa sahaja yang diturunkan saya harap berwaspada dengan ancaman pasukan Laos yang telah menun­jukkan peningkatan prestasi tidak kira di posisi pertahanan dan serangan,” katanya pada sidang akhbar virtual semalam.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran buat Cheng Hoe untuk mem­bantu pa­sukan sekurang-kurangnya menya­mai pencapaian melangkah ke pentas final seperti yang dilakukan pada edisi 2018.

Selepas aksi bertemu Laos, skuad negara akan mengharungi dua lagi perlawanan Kumpulan B menentang Vietnam pada Ahad ini sebelum mengakhiri saingan bertemu seteru tradisi, Indo­nesia pada 19 Disember ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI