MINGGU lalu, dua nyawa melayang dalam tragedi tanah runtuh di Perak. Adakah kerajaan mahu kejadian sama berlaku di Bukit Fraser, Pahang?
Sudah banyak amaran kejadian runtuhan tanah berlaku, namun ia seolah-olah dipandang sepi.
Pada awal tahun ini bongkah batu besar pernah terjatuh dan hampir menghempap sebuah kereta milik pengguna jalan raya dan kejadiaan runtuhan dilaporkan terus berlaku di laluan sepanjang kira-kira 30 kilometer dari Tranum, Raub ke destinasi The Little England tersebut.
Kini laluan di cerun bukit tersebut bagaikan jerangkap samar yang menunggu mangsa dengan kira-kira 62 kesan runtuhan cerun.
Itu belum lagi kejadian pokok yang tumbang dan ada yang terjuntai serta menghalang pandangan di laluan tersebut.
Runtuhan cerun-cerun lama terus dibiarkan tanpa pembaikan kekal sehingga banyak plastik penghalang hujan telah reput dan tidak kelihatan lagi. Entah berapa lama runtuhan tersebut harus dibiarkan.
Di atas kesan runtuhan pula terdapat bongkah batu besar dan pokok balak serta kayu mati yang terjuntai, malah di sepanjang laluan tersebut terdapat kesan batuan yang baru jatuh dan berada di tengah jalan.
Tidak diketahui mengapa laluan yang berbahaya sebegitu terus dibiarkan tanpa pembaikan kekal.
Tok Batin Orang Asli Kampung Bukit Telaga, Ah San Anjak ketika ditemui baru-baru mengakui kejadian tanah runtuh menjadi cabaran besar buat penduduk di kampung berkenaan.
Ini kerana, mereka tinggal di laluan antara Tranum ke Bukit Fraser.
Malah, mereka mengakui ada masanya penduduk kampung tidak tidur malam kerana bergotong-royong membersihkan pokok dan sisa runtuhan yang berlaku bagi membolehkan laluan hubungan mereka tidak terputus.
Menurut Presiden Institut Geologi Malaysia, Abd. Rasid Jaafar, unsur tanah terluluhawa dan mendapan tanah runtuh di kawasan tersebut sebenarnya amat berisiko untuk berlakunya tanah runtuh.
Menurut beliau, ditambah pula kawasan tersebut terletak di kawasan Zon Sesar (Gempa Bumi) Kuala Lumpur dari Bukit Tinggi hingga ke Kuala Pilah yang boleh berlaku gegaran, jadi sudah tentu ia amat berisiko.
Justeru, beliau memberitahu, bukan sahaja pembaikan segera perlu dilakukan, malah kajian jangka panjang melibatkan penglibatan pakar-pakar amat perlu dilihat walaupun kontrak pembaikan cerun pada masa ini dimonopoli oleh hanya satu kontraktor.
“Bukit Fraser memang kita kategorikan sebagai kawasan cerun yang boleh berlaku tanah runtuh yang tinggi kerana kawasan sebegini selalunya lebih lemah dan tidak stabil,” katanya.
Hakikatnya dengan cuaca yang tidak menentu pada masa ini adalah wajar sekali kawasan berisiko kejadian tanah runtuh seperti itu disegerakan peruntukan untuk pembaikan kekal dengan segera.
Selain itu, pakar-pakar berkaitan perlu dilibatkan bagi mencari penyelesaian tuntas jangka panjang. Jangan hanya membaik pulih dan kemudiannya runtuhan berulang lagi.
Jangan mempertaruhkan nyawa rakyat. Jangan tunggu sehingga tragedi tanah runtuh yang mengorbankan dua nyawa di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley ke Cameron Highlands, Ipoh pada 2 Disember berulang.
Tolonglah! jadikan tragedi tersebut sebagai wake up call untuk pihak yang berkaitan. -K! ONLINE