PORTO – Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone menegaskan, beliau sentiasa mencari cara baharu untuk menghadirkan keterujaan selepas berjaya memastikan slot ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara musim ini.
Kejayaan itu hadir selepas Atletico berjaya meraih tiga mata penting dengan menewaskan Porto 3-1 di Estadio do Dragao awal pagi semalam sekali gus menjamin tiket sebagai pasukan kedua terbaik daripada Kumpulan B di belakang Liverpool.
Simeone ternyata tidak dapat menahan emosinya kerana sekali lagi berjaya menghadiahkan kejayaan bermakna buat Atletico selepas pernah membantu merangkul dua kejuaraan La Liga selain dua kali bergelar finalis Liga Juara-Juara.
“Saya sudah berada di kelab ini selama 10 tahun dan pasukan ini tidak pernah berhenti untuk menghadirkan keterujaan kepada saya dengan cara yang tersendiri.
“Kami berdepan kesukaran apabila beraksi tanpa tiga daripada empat pertahanan tengah. Namun, saya lega kerana masih ada pemain yang berjaya memainkan watak penting seperti Sime Vrsaljko dan Geoffrey Kondogbia.
“Seluruh pasukan telah memberikan segala-galanya dengan meletakkan jiwa mereka dalam perlawanan ini. Ia menjadi hari yang hebat buat kami dan akan diingati sebagai salah satu perlawanan terbaik kami,” katanya.
Atletico meraih kemenangan hasil tiga gol daripada Antoine Griezmann, Angel Correa dan Rodrigo de Paul, manakala jaringan tunggal Porto dijaringkan oleh Sergio Oliveira.
Bagaimanapun, kemenangan itu dicemari dengan insiden pergaduhan pada lewat permainan sehingga menyaksikan pengadil melayangkan tiga kad merah kepada Yannick Carrasco dan dua pemain Porto, Wendell serta Marchesin. – AGENSI