KUALA LUMPUR – Pemain beregu campuran profesional negara, Goh Liu Ying berada dalam dilema sama ada mahu meneruskan kariernya atau memilih untuk menggantung raket.
Pemain berusia 32 tahun dari Melaka itu menjelaskan, dia masih memerlukan masa untuk berfikir mengenai masa depannya selepas tidak lagi bergandingan dengan Chan Peng Soon.
“Ramai yang tanya jika Liu Ying sudah gantung raket? Sebenarnya saya pun tertanya-tanya soalan yang sama tetapi malangnya belum ada jawapan.
“Bagilah saya sedikit masa. Terima kasih kepada semua atas sokongan anda selama ini,” kata Liu Ying yang dipetik dalam hantarannya di Facebook.
Liu Ying dan Peng Soon mengumumkan perpisahan selepas 13 tahun berganding sebagai beregu campuran negara dengan Jelajah Dunia Akhir di Bali, Indonesia baru-baru ini menjadi kejohanan terakhir buat mereka.
Pencapaian terbaik Liu Ying dan Peng Soon sudah tentu ketika mencipta kejutan sensasi dengan memenangi pingat perak Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
“90 peratus saya bersama Peng Soon sepanjang kerjaya badminton saya. Dari tiadanya acara beregu campuran sehinggalah pencapaian Olimpik Rio 2016.
“Saya memang bukan pemain terbaik Malaysia tetapi kerana adanya Peng Soon barulah bermulanya perjalanan beregu campuran kami berdua selama ini.
“13 tahun kami berpasangan, bunyi macam lama tetapi sekelip mata sahaja telah berlalu. Saya yakin kamu (Peng Soon) akan mencapai kejayaan lebih cemerlang selepas ini,” jelas Liu Ying. – K! ONLINE