CYBERJAYA – Seorang lelaki warga Nigeria diberkas kerana memiliki dan mengedar dadah jenis ganja seberat 653.68 gram di sebuah kediaman di sini pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, tangkapan itu dibuat susulan penahanan seorang lelaki warga Yaman dan dua lelaki tempatan pada Isnin lalu.
Beliau berkata, tiga lelaki itu terlebih dahulu ditahan kerana memiliki dadah jenis ganja seberat 3.95 gram.
“Soal siasat ke atas mereka kemudian membawa kepada penangkapan lelaki warga Nigeria berkenaan. Kesemua mereka berusia 25 hingga 35 tahun kini ditahan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Mereka ditahan reman sejak Selasa lalu bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar sempena Ops Roda dan Cegah Jenayah sekitar Cyberjaya di sini hari ini.
Jelas beliau, pihaknya percaya lelaki warga Nigeria itu adalah pengedar dadah dan sumber dadah diperolehi juga masih dalam siasatan.
Beliau berkata, menerusi Op Roda bermula Isnin lalu hingga hari ini, sebanyak 1,098 kenderaan diperiksa dan 301 jumlah saman dikeluarkan atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu, tidak memiliki insuran kenderaan dan menggunakan plat kenderaan ‘fancy’. – K! ONLINE