TORONTO, KANADA – Sebuah organisasi pemuliharaan alam sekitar di Kanada mencipta rekod dunia Guinness World Records apabila menghasilkan rantaian kepingan salji kertas terpanjang di dunia yang dibuat oleh kanak-kanak dari seluruh negara itu, lapor agensi berita United Press International kelmarin.
Earth Rangers, sebuah organisasi yang dianggotai oleh kanak-kanak memasang sebanyak 2,190 kepingan salji kertas sepanjang 403.6 meter ketika acara pameran beruang kutub di Zoo Toronto.
Kumpulan tersebut mula mengumpul kepingan salji kertas sejak Jun lalu, di mana beratus-ratus kanak-kanak dari seluruh Kanada telah diminta untuk menulis kebimbangan mereka mengenai isu-isu perubahan iklim serta harapan bagi masa hadapan pada kertas tersebut.
“Kepingan salji ini mewakili sebahagian daripada populasi dunia yang mana suara mereka juga perlu didengari, iaitu kanak-kanak.
“Ia amat penting supaya kanak-kanak dapat memasang impian bahawa kita mampu berdepan dengan sebarang cabaran meskipun dalam isu-isu besar seperti perubahan iklim, sekiranya kita bekerjasama,” kata Presiden Earth Rangers, Tovah Barocas.
Rantaian kepingan salji kertas itu dihasilkan khusus untuk menggambarkan kesan perubahan iklim yang tidak menentu di Lautan Artik. – AGENSI