fbpx

‘Kami tua tapi kuat kayuh beca’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENARIK beca Pulau Pinang gembira apabila kapal pelayaran di Terminal Swettenham Pier Cruise kembali beroperasi 22 Disember ini.

GEORGE TOWN – Perkhidmatan kapal pelayaran dari Terminal Swettenham Pier Cruise, di sini yang kembali beroperasi pada 22 Disember ini bukan sahaja dinantikan oleh penggemar percutian, malah disambut gembira oleh lebih 100 penarik beca di negeri ini.

Operasi kapal itu terhenti hampir 21 bulan akibat Covid-19 dan pelayaran pertama pasca pandemik dijadualkan dari Pulau Pinang ke Langkawi dan Selat Melaka dengan tambang antara RM199 hingga RM399.

Pengerusi Persatuan Penarik Beca Pulau Pinang, Abdul Latiff Mohd. berkata, sebelum ini pelancong-pelancong yang menaiki kapal pelayaran merupakan antara pelanggan utama perkhidmatan beca.

Namun, katanya, mereka kehilangan mata pencarian apabila tiada langsung kelibat pelancong selama dua tahun ekoran pandemik Covid-19.

“Dahulu jika ada kumpulan pelancong dari kapal layar yang singgah di terminal itu, mereka pasti akan menggunakan per­khidmatan beca untuk bersiar-siar di pusat bandar.

“Kami berharap dengan kembalinya operasi kapal layar ini, ia akan dapat membuka rezeki kepada penarik beca yang lama menanti ketibaan pelancong kapal layar,” katanya di sini semalam.

Tambahnya, penarik beca juga berharap pelancong yang menaiki kapal pelayaran akan menggunakan perkhidmatan mereka untuk bersiar-siar di pusat bandar nanti.

“Ada dalam kalangan pelancong yang kasihan melihat kami dan tidak mahu menggunakan perkhidmatan kami kerana kami sudah lanjut usia.

“Namun, bagi kami penarik beca, lebih baik kami menggunakan kudrat sendiri daripada meminta-minta kepada orang lain untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Tambah Abdul Latif, pihak­nya juga bersyukur kerana selepas rentas negeri dibenarkan, jumlah pelancong tempatan yang menggunakan perkhidmatan penarik beca di pusat bandar juga turut meningkat. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI