PETALING JAYA – Kadar pengangguran di Malaysia menurun kepada paras terendah sejak April 2020 dengan merekodkan 4.3 peratus pada Oktober lalu, menurut Statistik Tenaga Buruh yang diterbitkan Jabatan Perangkaan semalam.
Bilangan penganggur berkurangan sebanyak 3.4 peratus bulan ke bulan kepada 705,000 penganggur pada Oktober 2021, berbanding 729,600 pada September, manakala jumlah penduduk bekerja naik 0.6 peratus kepada 15.55 juta orang daripada 15.46 juta pada September 2021.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, walaupun bilangan penganggur berada dalam trend penurunan, secara relatifnya ia masih tinggi berbanding tempoh pra-pandemik dangan kadar pengangguran pada April 2020 ialah lima peratus, manakala pada Mac 2020, ia cuma 3.9 peratus.
“Pembukaan semula lebih banyak aktiviti ekonomi dan sosial serta rekreasi secara berterusan telah mendorong kedudukan tenaga buruh untuk kekal stabil pada Oktober 2021.
“Ia digambarkan bilangan guna tenaga lebih tinggi, manakala pengangguran merekodkan trend penurunan.
“Di samping itu, lebih banyak destinasi pelancongan domestik dibuka kepada individu lengkap vaksinasi, sekali gus menggalakkan lebih banyak aktiviti perjalanan dan pelancongan domestik,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada Oktober, Mohd. Uzir menjelaskan, daripada keseluruhan bilangan penganggur, 83.6 peratus adalah penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan.
“Kumpulan ini merekodkan penurunan sebanyak 3.5 peratus kepada 589,500 ribu orang, berbanding September 2021 (611,000 orang).
“Dari segi tempoh pengangguran, kumpulan yang menganggur kurang daripada tiga bulan merangkumi 55.5 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun sebanyak 7.8 peratus.
“Sementara itu, kadar pengangguran belia bagi umur 15 hingga 24 tahun kekal pada 13.9 peratus, manakala bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun mencatatkan penurunan sebanyak 0.4 mata peratus bulan ke bulan kepada 8.1 peratus Oktober lalu,” katanya.