IPOH – Impact Media Communications Sdn. Bhd. (IMC) semakin hampir untuk memiliki saham Perak FC selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bola Sepak Perak ( Pafa) sebentar tadi.
Dengan termetrai persetujuan itu IMC kini boleh membuat penyemakan tentang tanggungannya.
Syarikat itu juga memiliki dua minggu sebelum membuat keputusan muktamad sama ada ingin memiliki Perak FC atau sebaliknya.
Naib Presiden 3 Pafa, Datuk Seri G Irudianathan berkata, dengan MoU itu memberi peluang kepada IMC meneliti segala dokumen mengenai tanggungan Perak FC.
“Mereka akan berbincang dan selepas itu kami akan bertemu untuk memetrai persetujuan pemilikan saham Perak FC, ” katanya.
Beliau menafikan campur tangan Pafa dalam urusan pengendalian Perak FC sebaliknya hanya membantu pemilik baharu kelab itu.
Katanya, tiada orang Pafa akan dilantik menjadi ahli Lembaga Pengarah (BOD) seperti yang digembar-gemburkan dan urusan pegawai Perak FC adalah urusan IMC.
Sementara itu, Pengerusi IMC, Khairul Mahmud. berkata, pihaknya akan mula melihat perkara-perkara perlu dalam kelab itu. -K! ONLINE