PETALING JAYA – Pendakwah Terkenal, Ebit Lew meluahkan rasa terharu kerana misi bantuannya dibantu oleh pihak polis Brazil di Rio De Janeiro.
Dalam catatan terbaharunya pagi tadi, Ebit berkata, bukan sahaja mesra dan dilayan dengan baik, pihak polis di sana juga banyak berbual serta bercerita tentang keadaan di Brazil.
“Mereka siap cakap terima kasih kerana berbuat baik di sini. Katanya bila-bila sahaja memerlukan bantuan mereka sedia membantu.
“Di sini kawasan panas. Pavela Rio. Senang berkongsi dan berbual sebab semua orang akan tegur saya dulu. Mereka kata awak orang Islam yang baik,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ebit turut memberitahu, pasukannya di Malaysia tetap meneruskan bantuan sedikit sebanyak.
“Syukur team kami di Malaysia meneruskan membantu sedikit sebanyak. Semoga menjadi asbab kebaikan,” ujarnya.
Terdahulu, Ebit berangkat ke Brazil sejak 1 Disember yang lalu bagi menjalankan misi kemanusiaan. – K! ONLINE.