IMPIAN atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan untuk menaiki podium di Kejuaraan Dunia IWF Tashkent, Uzbekistan akhirnya terlaksana apabila meraih pingat perak semalam.
Atlet berusia 19 tahun itu menegaskan fokusnya pada kejohanan tersebut adalah untuk memecahkan rekod dunia 147 kilogram clean and jerk yang dicatat oleh atlet Bulgaria, Angel Hriskov Rusev dalam kategori 155kg pada April lalu.
Bagaimanapun, Aniq mengakui kegagalan angkatan kedua mengganggu fokusnya sebelum tekad untuk mencari penamat podium pada angkatan ketiga dengan catatan 142kg untuk meraih perak.
Pingat emas menjadi milik Rusev dengan angkatan 144kg pada angkatan keduanya selepas cubaan untuk pecah rekod dunia 147kg gagal direalisasikan. Pingat gangsa menjadi milik atlet Kazakhstan, Arli Chontey meskipun dia mencatatkan angkatan 142kg.
“Ini adalah penampilan pertama saya pada kejohanan dunia dan saya sangat teruja kerana berjaya meraih pingat perak buat Malaysia.
“Meskipun gembira tetapi saya sedikit kecewa kerana misi saya adalah untuk pecah rekod dunia iaitu 148kg. Apa pun, saya bersyukur kerana berjaya menaiki podium di pentas berprestij ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Lebih menarik, atlet dari Johor tersebut turut memecah rekod kebangsaan bagi kategori 55kg. Pingat perak itu juga memastikan Aniq berada di ranking pertama dalam kelayakan ke Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Selain Aniq, dua badang negara iaitu Muhamad Aznil Bidin dan Muhammad Erry Hidayat Muhammad Hidayat turut menyertai kejohanan berkenaan sebelum mengatur strategi bagi temasya Komanwel 2022.