BEIJING – Seorang anak lelaki yang ditemui bapanya selepas diculik selama 14 tahun enggan kembali ke pangkuan keluarga, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Harapan Sun Haiyang yang berasal dari Hubei, musnah selepas anak lelakinya yang berusia empat tahun diculik pada 9 Oktober 2007 oleh seorang lelaki yang menawarkan mainan dan makanan ringan kepada mangsa. Penculikan itu berlaku di Shenzhen.
Selepas anak-beranak itu ditemukan, Haiyang dilihat menangis dan tidak mahu melepaskan anaknya, demikian menurut laporan tempatan.
Sun Zhuo yang kini berumur 18 tahun, bagaimanapun meluahkan rasa bersalah kerana tidak mahu pulang ke rumah ibu bapa kandung setelah hidup bersama keluarga angkatnya.
Bercakap kepada Stesen Televisyen Pusat China, Zhuo berkata: “Saya mempunyai rumah baharu sekarang, tetapi mereka berempat adalah ibu bapa saya.”
Haiyang tidak pernah berputus asa untuk mencari anaknya dan menghabiskan masa bertahun-tahun menawarkan ganjaran dengan menjual hartanahnya.
Dia malah menukar papan tanda kedai roti kukusnya menjadi papan tanda ganjaran dengan menawarkan wang sekitar 200,000 yuan (RM 132,723) untuk sesiapa yang mempunyai maklumat.
Kisah itu diadaptasi menjadi filem bertajuk ‘Dearest’ oleh pengarah dari Hong Kong, Peter Chan dan mendapat anugerah ‘box office’ di negara itu pada 2014.
Haiyang dan isterinya, Peng Siying mempunyai seorang lagi anak yang kini berusia lapan tahun, tetapi tidak pernah memberitahu kanak-kanak itu tentang abangnya.
‘’Saya kadang-kadang kecewa jika tidak mendapat panggilan telefon selama beberapa hari. Saya malah gembira walaupun ada penipu menelefon untuk memberi petunjuk bagi mendapatkan ganjaran. Sekurang-kurangnya, itu memberi harapan kepada saya,’’ katanya menerusi temu bual di laman Inquirer.net.
Kerjasama polis di Guangdong, Shandong dan Hubei telah berjaya menyatukan semula keluarga itu pada minggu ini.
Sembilan suspek telah ditangkap berhubung penculikan Zhuo dan dua lagi budak lelaki bernama Fu dan Yang. – Agensi