LIPIS – Keadaan air Sungai Kechau Tui di sini yang bertukar menjadi hijau dengan tiba-tiba sejak semalam mengejutkan penduduk setempat.
Seorang penduduk Kampung Kechau Tui, Azman Ismail,55, berkata kejadian pertama kali berlaku itu melibatkan sungai sepanjang kira-kira tiga kilometer mula disedari penduduk awal pagi semalam.
“Kami terkejut apabila melihat air sungai berkenaan berwarna hijau dan mengalir terus ke Sungai Jelai.
“Mungkin bahan kimia kerana kalau sisa perlombongan ia biasanya berwarna keruh dan paling teruk pun berwarna hitam,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, penduduk kampung telah melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa untuk pemantauan lanjut dan setakat ini belum ada ikan yang ditemukan mati di dalam sungai berkenaan.
Bagaimanapun katanya penduduk berasa bimbang kejadian tersebut akan memberi kesan khususnya kepada penternak ikan sangkar dan kolam di sepanjang Sungai Jelai.
Sementara itu Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pahang, Mohd Sani Mat Daud berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai kejadian dan telah melakukan pemantauan di kawasan kejadian.
“Pada masa ini siasatan giat dilakukan termasuklah bagi mengenalpasti punca kejadian,”ujarnya. -K! ONLINE.