fbpx

Addy Kana diperintah bayar cukai pendapatan RM1.42 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Addy Kana.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan ahli perniagaan, Datuk Addy Kana membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.42 juta kepada Kerajaan Malaysia selepas gagal memasukkan kehadiran dalam saman yang difailkan kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perintah itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Maslinda Selamat ketika pengurusan kes secara dalam talian selepas penghakiman ingkar kehadiran difailkan oleh LHDN bagi pihak kerajaan selaku plaintif.

Berdasarkan semakan dalam sistem mahkamah Addy Kana atau nama sebenarnya Zaidi Kanapiah ,37, selaku defendan itu juga diperintah membayar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi dan kos sebanyak RM1,500 kepada kerajaan.

Semakan dokumen itu turut menyatakan defendan didapati telah gagal untuk memfailkan memorandum kehadiran walaupun serahan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan telah matang pada 24 November tahun ini dan mahkamah hari ini merekodkan penghakiman ingkar kehadiran terhadap defendan.

Pada 1 Oktober lalu, Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan dengan menamakan Addy Kana sebagai defendan.

Berdasarkan penyataan tuntutan yang diperoleh menerusi sistem mahkamah, plaintif mendakwa Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019, defendan telah ditaksirkan dengan taksiran tambahan masing-masing berjumlah RM380,025.73 dan RM918,079.23.

“Oleh kerana defendan telah gagal membayar keseluruhan cukai pendapatan dalam tempoh 30 hari yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, kenaikan cukai sebanyak 10 peratus berjumlah RM38,002.57 dan RM91,807.92 telah dikenakan dan ditambahkan ke atas keseluruhan cukai pendapatan yang masih belum dibayar bagi Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019 (Tambahan) itu,” kata Kerajaan pernyataan tuntutan itu.

Dakwa plaintif, defendan masih gagal membayar kepada plaintif keseluruhan cukai pendapatannya  yang masih terhutang dan genap masanya dan kena dibayar bagi Tahun-tahun Taksiran 2018 dan 2019 (Tambahan) termasuk kenaikan-kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM1,427,915.45.

Pernyataan itu turut mengatakan untuk mendapatkan kembali jumlah cukai pendapatan yang masih terhutang itu serta kenaikan-kenaikan yang dikenakan ke atas defendan sebagai satu cukai yang genap masanya dan kena dibayar.

Justeru plaintif menuntut defendan membayar RM1,427,915.45, faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Terdahulu pada 1 September lalu, kerajaan melalui LHDN juga telah memohon untuk melucut hak wang yang terdapat dalam akaun peribadi ahli perniagaan, Alvin Goh dan isteri Ady Kanna serta tiga syarikat mereka berjumlah RM517,113.33 selepas disyaki terlibat dengan aktiviti haram. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI