KUALA LUMPUR – Phewiiit Coffee Co, usahawan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyumbangkan sebanyak 4,000 cawan kopi sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Difahamkan sebanyak tiga jenis kopi diberikan mengikut cita rasa pengunjung iaitu teh tarik, kopi nenas dan kopi premium.
Penyanyi terkenal tanah air, Suhami Abdul Rahman, 63, atau lebih dikenali sebagai Amy Search berkata, sumbangan yang diberikan pihaknya itu bertujuan bagi mengetengahkan produk kopi tersebut dengan hasrat dapat mencipta jalinan kerjasama bersama usahawan lain.
“Hari ini kami membuat pemberian air kopi sebanyak 4,000 cawan secara percuma kepada orang awam sebagai salah satu usaha strategi pemasaran.
“Di samping itu, kami juga berharap dengan kehadiran kami di AKM, ia dapat membantu menjalinkan hubungan bersama usahawan lain bagi memperkukuhkan kedudukan kami pada masa hadapan,” katanya kepada Kosmo!.
Sementara itu, vokalis utama kepada kumpulan rock, Search turut menyatakan penghargaannya kepada pihak kerajaan serta MAFI kerana berjaya menganjurkan sebuah program yang memberi manfaat kepada semua golongan masyarakat.
Tambah Amy, Phewiiit Cofee Co yang berusia lima tahun itu turut bersedia untuk menembusi pasaraya besar selepas produk itu sudah memasuki pusat beli belah Isetan di KLCC selain daripada jualan yang hanya dijalankan melalui atas talian sebelum ini.
“Sebelum ini, saya hanya memberikan fokus kepada perniagaan atas talian dimana ia lebih effisien dan mudah berbanding kedai fizikal. Sekarang, walaupun produk ini sudah memasuki Isetan sebagai langkah pertama, kami juga bersedia untuk menembusi pasaran yang lebih besar,” jelasnya. K!ONLINE.