JELI – Sepasukan anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang wanita dipercayai berada dalam keadaan berhalusinasi atau separa sedar sehingga dia bertindak memanjat sebatang pokok akasia setinggi 9.1 meter di Jalan Lubok Dulang, Ayer Lanas di sini hari ini.
Mangsa, Riszi Che Soh, 51, dipercayai memanjat pokok itu seorang diri sebelum tindakannya itu disedari oleh keluarga suaminya yang melihat wanita tersebut berada di atas pokok.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd. Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 9.33 pagi sebelum sembilan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi itu mendapati, mangsa dilihat tidak dapat turun dari atas pokok itu dan berada dalam keadaan lemah.
“Melihat kepada situasi itu, anggota bomba mengambil masa selama 10 minit untuk memujuk dan menenangkan mangsa.
“Selepas berjaya memujuk mangsa, bomba menggunakan peralatan menyelamat seperti tali dan tangga untuk menurunkan wanita itu,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Menurutnya, mangsa yang berada dalam keletihan telah diserahkan kepada ahli keluarganya dan operasi menyelamat tamat pada pukul 10.30 pagi. -K! ONLINE