BALING – Seorang remaja maut manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah jengkaut di Jalan Baling-Weng-Tanjung Pari di Kampung Bandar, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR, Muhamad Aiman Nor Hakim Rosidan, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pembonceng, Muhammad Aiman Shah Shukri, 18, cedera parah.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika motosikal dinaiki dua remaja terbabit dalam perjalanan dari arah Baling menghala Weng.
“Sebaik tiba di tempat kejadian iaitu di Kampung Bandar, penunggang motosikal dipercayai tidak lepas memotong sebuah kenderaan lain dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan jengkaut.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng mengalami cedera parah dan dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.
Jelas beliau, pemandu jengkaut berusia 35 tahun tidak mengalami kecederaan.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat,” tambahnya. -K! ONLINE