RINSIPAL pasukan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) negara, Datuk Razlan Razali meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pelumbanya, Andrea Dovizioso untuk mendapatkan tunggangan ‘emas’ semula menjelang saingan sebenar pada musim depan.
Selepas menamatkan kerjasama bersama Ducati pada penghujung musim lalu, Dovizioso gagal mendapat tempat bersama pasukan lain sebelum menyertai pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) pada September lalu.
Meskipun hanya lima pusingan perlumbaan, kepulangan pelumba 35 tahun itu dilihat positif, namun masih belum mampu melepasi 10 terbaik.
Justeru, Razlan dan pasukannya itu RNF MotoGP serta Yamaha akan membantu pelumba Itali itu mendapatkan jentera terbaik memandangkan mereka kini sedang membangunkan mesin 2022 yang lebih kompetitif.
“Banyak peminat di luar sana membandingkan Dovizioso dengan Valentino Rossi. Mereka meramalkan bahawa nasib Dovizioso akan berakhir seperti Rossi yang tidak lagi kompetitif pada usia tersebut.
“Jika kita lihat pada usia kedua-dua pelumba tersebut agak jauh. Saya percaya Dovizioso yang kini berusia 35 tahun mampu mendapatkan rentak tunggangan terbaik bersama Yamaha sebaik sahaja jentera 2022 siap sepenuhnya.
“Dia telah bersama Ducati selama lapan tahun dan pastinya memerlukan masa untuk mendapatkan tunggangan terbaiknya. Kali terakhir dia duduk atas jentera Yamaha pada 2012 dan sudah pasti ia sangat berbeza.
“Dovizioso akan menggunakan jentera 2022 sama seperti Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli guna. Jadi saya yakin tiada masalah buatnya untuk bersaing.
“Fokus utama kita ketika ini adalah menguji jentera di Sepang nanti dan seterusnya kita akan menilai dari semasa ke semasa. Dia adalah salah seorang pelumba paling berpengalaman di grid.
Saya rasa dia boleh membawa banyak kestabilan kepada pasukan dan akan membangunkan jentera Yamaha 2022 dengan baik,” katanya kepada Kosmo! semalam.