PETALING JAYA – Seorang wanita berkongsi video sekeping resit pesanan pelanggan yang diterima melalui aplikasi pesanan dalam talian sehingga menyukarkan urusan penyediaan.
Menerusi perkongsian video oleh @Siti Property di laman TikTok, seorang pekerja lelaki kelihatan agak pening sambil ketawa membaca pesanan yang diterima oleh pelanggan.
“Nasi kandar daging tapi kuah lebih, ayam dada. Nak nasi kandar daging, kenapa tukar ayam dada, pening la,” kata pekerja lelaki itu.
Tambahnya, pesanan yang diterima hanya melibatkan dua menu tetapi pelanggan tersebut membuat banyak permintaan bagi setiap menu yang dipesan.
“Nak kuah lebih, pedas, kuah letak sekali, bagi sedap, kuah bagi banjir, kuah bagi banyak sampai tak nampak nasi, nampak kuah sahaja, campur semua kuah,” katanya ketika membaca pesanan pelanggan.
Lebih menarik, pelanggan itu sempat mengingatkan pihak kedai agar tidak meletakkan sebarang jenis sayuran dan jika ada, dia tidak mahu memesan semula pada masa akan datang.
Selain itu, video tersebut menjadi tular di media sosial dan rata-rata orang ramai turut terhibur dengan kejadian yang berlaku.
“Sepatutnya FoodPanda, GrabFood dan lain aplikasi perlu hadkan jumlah patah perkataan yang pelanggan boleh tulis, risau dia tulis resepi, pening tukang masak,” kata @farah syahidah.
“Hahaha, pernah alami kejadian seperti ini, pelanggan siap kata nak merajok jika tidak penuhi permintaannya, kami ikutkan sahaja,” kata @Fitriyah Awang.
“Lawak la pelanggan ni, naik pening pekerja yang terima pesanan panjang macam ni, kalau 20 orang buat perkara sama, demam terus pekerja kedai makan,” kata @Mazz78. – K! ONLINE