fbpx

MKN jamin keselamatan semasa AKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pematuhan SOP dutamakan bagi mengelak tiada berlakunya kluster ketika program AKM berlangsung.

PUTRAJAYA – Orang ramai tidak perlu berasa bimbang untuk berkunjung ke Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) kerana segala aspek kawalan sudah pun diteliti kerajaan.

Jaminan itu disuarakan Ketua Pengarah, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad sebagai mengulas langkah keselamatan sepanjang empat hari acara tersebut berlangsung.

“Kita memang menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang amat ketat demi memastikan tiada berlaku kluster penularan wabak Covid-19 ketika program ini,” katanya pada sidang akhbar khas di sini semalam.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu), Jabatan Perdana Menteri, Cheah Hock Koi.

Program 100 hari AKM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang akan bermula Khamis ini diadakan bagi meraikan kejayaan semua kementerian yang mencapai sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI).

Selain, turut meraikan genap tempoh 100 hari pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan merujuk kepada gaya kepimpinan beliau dengan slogan Keluarga Malaysia.

Acara julung kali yang dikelolakan Sepadu akan melibatkan penyertaan keseluruhan 32 kementerian dengan mempamerkan kejayaan masing-masing serta pelbagai acara lain untuk disertai pengunjung.

Mengulas lanjut, Rodzi berkata, jumlah pengunjung bakal dihadkan dalam satu-satu masa untuk mengekang jangkitan pandemik.

Rodzi

“Misalnya, untuk acara perasmian, cuma 272 tetamu dibenarkan masuk selain 11 kenamaan dalam dewan utama yang sebenarnya boleh memuatkan sejumlah 2,000 orang,” jelasnya.

Tambah beliau, aras bawah KLCC yang boleh menampung 20,000 orang itu sebelum ini, terpaksa hanya dihadkan kepada 7,500 orang.

Secara keseluruhan katanya, bilangan pengunjung di kesemua lokasi KLCC yang melibatkan dewan 1 hingga dewan 6 bakal dikawal ketat.

“Kita cuma hadkan hanya 10,350 orang dalam satu-satu masa sahaja,” ujarnya.

Tambah Rodzi, langkah tegas itu perlu dikenakan walaupun Kuala Lumpur sudah pun memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara yang membenarkan acara sedemikian dengan jarak fizikal.

Justeru jelasnya, semua pengunjung akan disaring dengan teliti di setiap pintu masuk bagi memastikan had pengunjung dipatuhi tanpa kompromi dan mereka wajib lengkap dos vaksin.

“Semua pengunjung mesti memakai pelitup muka sepanjang masa dalam kawasan program ini dan tidak boleh berdiri rapat kurang daripada satu meter untuk elak kesesakan berlaku,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar merancang jadual lebih awal dan sekiranya terpaksa beratur di pintu masuk, maka mereka wajar mengikut arahan yang diberikan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Begitu juga ujarnya, pengunjung kanak-kanak berusia bawah 12 tahun, perlu diiringi ibu bapa yang telah cukup vaksinasi dan tiada bergejala selain mematuhi segala SOP ketat ditetapkan.

Ditanya rasional lokasi program di KLCC, beliau berkata, premis itu dipilih kerana agak mudah dikawal dari segi akses dan bilangan pengunjung di samping faktor pengudaraan yang baik.

Bahkan jelasnya, pihak Sepadu turut mengadakan perbincangan serta nasihat daripada MKN dan Kementerian Kesihatan dengan penyediaan SOP ketat demi menjamin para pengunjung.

“Sekiranya berlaku penularan wabak, proses sanitasi akan dibuat segera malah pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat juga menyahkuman KLCC setiap hari selepas program selesai,” kata Rodzi.

Dalam nada yakin, beliau berharap pengunjung dapat memanfaatkan pelbagai program yang disusun sepanjang AKM berlangsung dengan sebaiknya kerana ia membuktikan usaha serius kerajaan untuk memulihkan semula pertumbuham ekonomi negara terus berjalan lancar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI