KUALA LUMPUR – Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) merancang untuk membawa pulang skuad projek khas wanita negara lebih awal selepas tidak dibenarkan bertanding pada saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita 2021 yang berlangsung di Donghae, Korea Selatan ketika ini.
Malaysian Tigress terpaksa akur dengan keputusan daripada Persekutuan Hoki Asia (AHF) selepas salah seorang pemain negara diuji positif Covid-19 sebaik tiba di sana baru-baru ini.
Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal menjelaskan, pihaknya sedang bekerjasama dengan AHF untuk mendapatkan kebenaran membawa pulang pemain-pemain yang negatif Covid-19 lebih awal ke tanah air.
“Sekiranya pihak bertanggungjawab di Korea Selatan memberikan kebenaran untuk pemain-pemain yang diuji negatif Covid-19 pulang, kami akan membawa mereka pulang lebih awal daripada perancangan asal.
“Namun, sekiranya mereka tidak membenarkan dan perlu menghabiskan tempoh kuarantin sehingga 11 Disember ini, maka 13 Disember pastinya skuad wanita akan pulang.
“Bagi pemain yang diuji positif dan terpaksa tinggal lebih lama di Korea Selatan, pihak MHC juga sedang bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara bagi mendapatkan pertolongan Kedutaan Malaysia di Korea Selatan.
“Ia untuk memastikan kebajikan pemain tersebut dijaga. MHC juga akan memastikan ada pegawai yang tinggal di Korea Selatan bagi memastikan pemain dalam keadaan baik dan pulang ke Malaysia bersama mereka,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.
Selain Malaysia, India juga berdepan situasi sama apabila salah seorang pemainnya diuji positif Covid-19 menerusi ujian saringan yang dilakukan pihak penganjur sekali gus menyebabkan perlawananpasukan itu menentang Korea Selatan hari ini dibatalkan. – K! ONLINE