Oleh MOHD FITRIE MUHAMAD
HARIMAU Malaya menerima khabar gembira selepas Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) memberikan ‘lampu hijau’ untuk melakukan pertukaran pemain membabitkan posisi penjaga gol.
Kini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan kuasa penuh kepada ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk membuat pilihan, penjaga gol mana yang akan dipanggil untuk menyertai skuad negara di Singapura.
Bagaimanapun, Cheng Hoe belum dapat membuat keputusan pemain mana yang akan menggantikan Khairulazhan Khalid dan akan memuktamadkan perkara itu selepas barisan kejurulatihan membuat perbincangan.
“Memang sudah diluluskan. Kita belum buat senarai akhir lagi tapi bila sudah ada nama, kita akan umumkan nanti.
“Pengumuman ini akan dibuat dalam masa terdekat,” kata Cheng Hoe pada sidang akhbar secara virtual semalam.
Terdahulu, FAM mengharapkan ‘ihsan’ AFF untuk membenarkan tambahan seorang lagi penjaga gol bagi membantu skuad Harimau Malaya mengharungi kempen Piala AFF Suzuki 2020.
Ini kerana, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe sedikit tempang selepas hanya memiliki 21 pemain di Singapura susulan tonggak serangan, Faisal Halim dan penjaga gol, Khairulazhan Khalid terpaksa dikuarantin apabila disahkan positif Covid-19.
Justeru, khabar terbaharu itu menjadi suntikan positif buat Harimau Malaya menjelang pertemuan menentang Laos esok.
Ketika ini, skuad negara hanya memiliki dua penjaga gol iaitu Khairul Fahmi Che Mat dan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi. Antara calon yang berkemungkinan dipanggil adalah Samuel Somerville dan Azri Ghani.