fbpx

Lupus e-sisa secara lestari jaga alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG pengunjung menghantar barangan elektronik miliknya untuk dikitar semula.

SEJAK sekian lama, barangan elektrik dan elektronik menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia dengan memudahkan urusan harian.

Begitupun, jika tidak diuruskan dengan baik apabila rosak, ia memberi kesan tidak baik kepada alam sekitar jika dibuang begitu sahaja.

Pembuangan barangan elektrik dan elektronik dikenali sebagai e-sisa.

Penghasilan barangan tersebut yang meningkat saban tahun sebenarnya menambah lagi e-sisa yang dibuang di seluruh dunia.

Berdasarkan data daripada Kawalan E-Sisa Global 2020, sebanyak 53.6 juta tan metrik sisa peranti elektrik dan elektronik dihasilkan di seluruh dunia pada 2019.

Menyedari hal itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS), agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air mengambil inisiatif menetapkan hari Sabtu terakhir setiap bulan sebagai Hari Pengumpulan E-Sisa.

Ketua Pengarah JAS, Wan Abdul Lati Wan Ja ar berkata, inisiatif yang bermula Januari lalu itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang awam terhadap kepentingan pengurusan e-sisa secara mesra alam dan lestari.

WAN ABDUL LATIFF (tengah) melancarkan program kemuncak pengumpulan e-sisa di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurutnya, sasaran pengumpulan e-sisa bagi tahun ini adalah sebanyak 800 tan metrik.

“Sasaran itu ditetapkan bagi mengukur tahap penglibatan orang awam dan keberhasilan program- program kesedaran yang dilaksanakan.

“Pelbagai kempen dan program pengumpulan e-sisa telah dilaksanakan bermula awal tahun sehingga hari ini. Namun begitu, pandemik Covid-19 sedikit sebanyak menjejaskan pergerakan orang awam untuk menghantar e-sisa sendiri ke pusat pengumpulan,” katanya.

Namun begitu, inisiatif yang dilaksanakan itu tetap mendapat sambutan daripada orang awam.

Pihak JAS sendiri berjaya melepasi sasaran ditetapkan tahun ini dengan berjaya mengumpul sebanyak 2,283.7 tan metrik e-sisa.

Pencapaian itu kejayaan terbesar dilakar sejak kempen pengurusan e-sisa diadakan pada 2014.

Dalam pada itu, Wan Abdul Lati menjelaskan, inisiatif proaktif yang dilaksanakan itu bagi memastikan e-sisa dapat diuruskan dengan kaedah tidak mencemarkan alam sekitar.

“E-sisa ini mengandungi bahan toksik dan berbahaya yang boleh menjejaskan kesihatan manusia, mencemarkan air, udara, tanah dan menipiskan lapisan ozon.

“Sebanyak 178 pusat pengumpulan e-sisa berdaftar diwujudkan di seluruh negara bagi memudahkan orang awam menghantar dan melupuskannya secara mesra alam,” terangnya.

Tambahnya, pelaksanaan pengumpulan dan penghantaran e-sisa dipermudahkan untuk orang awam dengan adanya aplikasi MyEwaste yang membolehkan orang awam mendapatkan maklumat lanjut mengenai pusat-pusat pengumpulan yang berdaftar dengan JAS.

PEMBUANGAN e-sisa kini menjadi masalah baharu di peringkat global.

Selain itu, JAS juga mengalu-alukan kerjasama daripada agensi kerajaan, swasta dan badan korporat serta komuniti untuk turut bersama menjayakan program pengumpulan e-sisa pada hari Sabtu terakhir setiap bulan.

Dalam pada itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pencemaran e-sisa telah menjadi antara isu utama di peringkat global.

Menurutnya, ia berlaku berikutan aktiviti pelupusan e-sisa yang tidak terurus dan memberi impak kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan secara purata, sebanyak 7.6 kilogram e-sisa dijana oleh setiap individu pada 2021.

“Ini secara keseluruhannya mencatatkan penjanaan e-sisa sebanyak 57.4 juta tan di seluruh dunia.

“Ia amat membimbangkan kerana hanya 17.4 peratus e-sisa dilaporkan dikitar semula atau dilupuskan secara lestari,” ulasnya.

Tambahnya, Malaysia juga tidak terkecuali dan trend penghasilan e-sisa di negara ini dijangka mencecah 24.5 juta unit atau bersamaan 284,941.2 tan metrik menjelang 2025.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI